KUALA LUMPUR – Bagaimanakah nasib masyarakat India di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN)?
Parti terbesar masyarakat India, MIC seolah-olah tidak mempunyai jawapan tentang hala tuju di bawah kerajaan baharu ini.
Kemelut politik yang sedang melanda negara tidak begitu menonjol kerana sibuk memerangi wabak Covid-19 pada masa ini, bagaimanapun keretakan tampak jelas.
Sebagai contoh, MIC yang juga sebahagian daripada kerajaan, seolah-olah terpinggir apabila hanya diberikan satu jawatan Menteri.
Walhal ketika Pakatan Harapan (PH) masih menerajui negara, sekurang-kurangnya empat jawatan Menteri diberikan untuk menangani isu-isu berkaitan komuniti itu.
Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, V Gunalan berkata, beliau sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh memberi gambaran masa depan masyarakat India.
Kata Gunalan, MIC yang berjuang untuk masyarakat India untuk sekian lama, malah sebelum kemerdekaan lagi, seolah-olah hilang ‘suara’ dan haknya dalam kerajaan hari ini.
“Jadi saya sendiri tidak begitu pasti apakah pula nasib keseluruhan masyarakat India di negara ini, apakah hala tuju mereka dan adakah kebajikan serta hak mereka akan terjamin selepas ini, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan anda.
“Saya boleh berikan kepada anda contoh apa yang sedang berlaku dengan MIC sendiri. Setakat ini, kami hanya diberikan satu jawatan Menteri, lain-lain termasuk Timbalan Menteri mahupun Ahli Dewan Negara juga tidak diberikan seperti kebiasaan.
“Jangan cerita tentang jawatan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedangkan jika sebelum ini tidaklah kami di anak tirikan seperti ini. Bukanlah kami ‘tergilakan’ jawatan, bukankah ini satu pengiktirafan kepada kami dan masyarakat India?
“Apa yang peliknya pula, ada juga parti lain dalam PN dilonggokkan pula dengan pelbagai jawatan kerajaan, GLC dan yang lain-lain, adakah mereka sahaja yang akan berjuang untuk rakyat sedangkan politik dalaman sendiri tunggang langgang.
“Rata-rata masyarakat India sendiri juga menyedari tentang perkara ini dan pernah banyak kali menyoal tentangnya namun kita sendiri tidak ada jawapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Gunalan, kemelut politik dalaman masih lagi menghantui PN, dan kepimpinan kerajaan ketika ini tidak seperti yang di harapkan.
“Ingat lagi bagaimana kami dari MIC bertungkus lumus membawa balik rakyat kita yang terkandas di India ketika penularan Covid-19 di seluruh negara?
“Bukan sahaja pelajar dari dalam kalangan masyarakat India di India, Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka, sebaliknyua kaum lain juga di bawa pulang dengan selamat melalui pelbagai rundingan dan peruntukan berjuta-juta datangnya dari MIC bukannya kerajaan.
“Apa maksudnya itu? Anda langsung tidak bantu kami ketika ada krisis dan berharap kami selesai sendiri, pastinya kami tidak berharap sebaliknya pastikan rakyat kita dibawa pulang melalui peruntukan MIC dan dana melalui MIC serta selain sumbangan umum. Kamu harap kami selesai sendiri sedangkan ini adalah isu rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Ketika krisis Covid-19, kami sendiri turun padang, gunakan segala dana serta tenaga kami sendiri tanpa sebarang campur tangan mahupun bantuan daripada kerajaan. Kami tidak diberikan apa-apa sebenarnya.
“Jadi nasihat kepada saya kepada masyarakat India, jangan begitu bergantung harap dengan kerajaan ketika ini, saya sehingga kini kabur apakah jenis peruntukan telah diperuntukan untuk komuniti kita.
“Saya juga tidak begitu pasti apakah jenis perancangan, kebajikan, hala tuju untuk mengangkat serta membela masyarakat India yang juga merupakan kaum ketiga terpenting negara ini sedangkan suara kami juga tidak didengari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Gunalan berkata, MIC akan kembali fokus dalam memperkasakan ahli-ahli parti itu dan berjuang menjaga kebajikan komuniti India di negara ini.
“Itu yang kami lakukan ketika menjadi pembangkang. Sekarang rasanya itulah yang terbaik boleh kami lakukan, akhir sekali ahli-ahli partilah yang menjadi tunjang dan kepentingan kami.
“Biarlah kerajaan yang ada kini selesaikan semua isu serta kebajikan masyarakat India, saya pasti mereka ada perancangan, jadi biarlah mereka sahaja lakukan itu dan kami fokus dalam jaga parti kami.
“Saya akan bawa usul ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) tidak lama lagi, seperti rakyat di luar, kami juga tidak mahu tertunggu-tunggu atau ‘mengemis’ jawatan mahupun peruntukan, biarlah kami jaga parti kami sendiri.
“Mungkin kita juga perlu berbincang apakah yang perlu dilakukan seterusnya dalam kerajaan PN yang pada saya sebenarnya tidak menghormati mahupun mengiktiraf masyarakat India secara keseluruhannya.
“Mungkin kita akan berbincang dalam mesyuarat adakah masih perlu untuk kami terus berada dalam PN jika keadaan ini berterusan seperti ini, kami telah beberapa kali menyuarakan isu-isu berkaitan masyarakat India kepada PN, ianya tidak diberi fokus atau di titikberatkan selama ini. ” tegasnya. –MalaysiaGazette
Add Comment