Mi-Voice MIC News

MIC biayai kos 6 kapal terbang membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India

KUALA LUMPUR, Mac 20: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hari ini telah menyatakan persetujuan parti MIC bagi menanggung kos penerbangan khas untuk membawa balik lebih 1,100 rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat keputusan kerajaan India membatalkan penerbangan awam demi membendung penularan wabak Covid-19 di negara tersebut.

Dengan persetujuan khas yang diperolehi dari Kementerian Luar India melalui usaha Kerajaan Malaysia dan MIC bagi penerbangan khas tersebut, MIC bersetuju membayar syarikat Air Asia Berhad sebanyak RM 1.05 juta bagi kos sewa 6 pesawat dengan kapasiti 186 penumpang setiap unit. Pesawat khas akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Lapangan Terbang Chennai dan Trichy di Tamil Nadu, India.

“Keputusan bagi menanggung kos penerbangan khas tersebut adalah bagi memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang terkandas tersebut terjamin, dan ianya menjadi keutamaan parti MIC,” kata Tan Sri SA Vigneswaran, yang juga merupakan Yang Di Pertua Dewan Negara. – The Sentral

https://www.thesentral.my/2020/03/20/mic-biayai-kos-6-kapal-terbang/