KUALA LUMPUR – MIC bersetuju sekiranya Muafakat Nasional diinstitusikan seperti Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh pelbagai parti.
Malah Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, parti tersebut bersedia menjadi salah satu parti yang berada di bawah institusi tersebut.
Jelas beliau, dengan cara ini kerjasama parti pembangkang itu akan lebih kuat, dalam masa yang sama mempunyai satu matlamat dan hala tuju yang sama.
Dengan cara itu juga dapat mengelakkan percanggahan di antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun ujarnya, institusi seperti yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam perlu dilaksanakan dengan sistem yang baik.
“MIC bersetuju kerana perkataan muafakat itu keluar bila Tok Guru (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) melawat MIC memang kita mahu kerjasama.
“Kita kena faham dalam satu permuafakatan dan kerjasama, kita kena berpegang kepada silaturahim, silaturahim kita kena bertambah baik.
“Kalau kita bincang dahulu kita sebagai entiti, Pas satu entiti dan kita bekerjasama untuk pilihan raya ini, kemungkinan selepas pilihan raya, kita pula bercanggah.
“Kalau kita betul-betul telus nak bekerjasama kena ada permuafakatan dengan bersistem, tidak bolehlah kita janji apa semua, esok BN menang Pas dipinggirkan tidak boleh,” katanya kepada pemberita selesai penyampaian Ucapan Dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 oleh Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gesaan Asyraf agar gagasan kerjasama di antara parti itu dan Pas diangkat menjadi sebuah institusi seperti BN.
Ujarnya, ia akan menjadikan Muafakat Nasional bukan hanya dianggotai UMNO dan Pas, tetapi juga komponen BN seperti MCA dan MIC.
Namun, Vigneswaran yakin kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membiarkan kesemua parti pembangkang ini menjadi satu institusi.
“Saya tidak fikir kerajaan akan membenarkan penubuhan institusi ini. Saya tidak fikir Muafakat Nasional boleh didaftarkan menjadi institusi, kalau boleh baguslah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
By Shawaliah Hadir – 6 December 2019, MalaysiaGazette