Mi-Voice MIC News

Saravanan bakal terbit buku jawab dakwaan berkaitan MIC

Timbalan Presiden MIC M Saravanan memberitahu bahawa dia sedang menulis buku yang akan diterbitkan dalam masa terdekat berkaitan dakwaan-dakwaan terhadap parti tersebut.

Katanya, buku itu akan menjelaskan segala dakwaan terhadap MIC khususnya Maika Holdings, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan tanah seluas 2,000 ekar yang diperuntukkan untuk kebajikan murid-murid India di Perak.

“Ada pihak meneruskan dakwaan terhadap MIC berhubung Maika Holdings, Mitra dan tanah 2,000 ekar di Perak.

“Malangnya, mereka yang bercakap itu tidak tahu sejarah tentang isu-isu ini. Ada antara mereka tidak tahu pun siapa pengarah Maika Holdings.

“Saya sedang menulis sebuah buku untuk menjelaskan dakwaan-dakwaan ini,” katanya di mesyuarat agung tahunan MIC negeri Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, buku itu akan diterbitkan tidak lama lagi.

MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham – kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur – sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset – selama bertahun-tahun.

Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.

Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Sementara itu, tanah 2,000 yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak pada tahun 2013 diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Pendidikan Murid-Murid India Perak.

Yayasan itu diasaskan oleh bekas naib presiden MIC S Veerasingam.

https://m.malaysiakini.com/news/716022