Mi-Voice MIC News

KENYATAAN MEDIA KETUA BRIGED MIC KEBANGSAAN – ANDREW DAVID

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2024 – Briged MIC yang diketuai oleh Andrew David yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC memohon YB Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) untuk terus mempertahankan polisi tidak membenarkan sumbangan dari sumber aktiviti perjudian, rokok, minuman keras, dan seumpamanya diberikan kepada Pihak Sekolah mahupun mana-mana Institusi Pendidikan.

Kami menyokong penuh tindakan YB Menteri Pendidikan serta ingin menegaskan bahawa tidak perlu ada mana-mana pihak berhasrat untuk cuba untuk menukar polisi yang sedia ada malah harus menambah baik serta memperketatkan lagi polisi ini agar semua Institusi Pendidikan patuhi polisi ini.

Dengan mengalukan dana dari penaja dari sumber seperti ini akan mendominasi pemikiran anak-anak muda yang dibangku sekolah dengan promosi penjenamaan dari Syarikat Perjudian, Tembakau dan Minuman keras serta seumpamanya. Tindakan tegas wajib diambil ke atas syarikat terbabit kerana mengambil kesempatan dengan menyalurkan tajaan kepada institusi pendidikan atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagi tujuan jangka panjang, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu meneliti cadangan untuk mewujudkan satu Yayasan Endowen Pendidikan. Fokus penubuhan ini adalah bagi menyelaras sumbangan-sumbangan dari pelbagai syarikat kepada institusi pendidikan serta membolehkan syarikat untuk menyalurkan dana awam untuk pembangunan institusi pendidikan.

Briged MIC turut menyeru agar pihak sekolah termasuk masyarakat awam peka terhadap perkara-perkara seperti ini. Institusi Pendidikan harus kekal menjadi medan pengukuhkan nilai murni dan pembangunan akhlak, serta tiada ruang bagi inisiden seperti ini.

Mengulas lanjut, sebagai Ketua Biro Sukan Kebangsaan, Andrew David turut berasa kecewa kerana perkara seperti ini diambil remeh oleh pihak berkenaan malah tidak patuh kepada Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 29 Mac 2018, dalam perkara 7.3 .

Imbas kembali pada suatu ketika dahulu Jenama Rokok sangat sinonim dalam kancah bolasepak tempatan. Suntikan dana dan tajaannya cukup tinggi, di hadapan jersi juga turut tertera nama jenama ini, hinggalah suatu masa, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengharamkan segala penglibatan syarikat tembakau dan rokok dalam arena sukan negara. Dikesempatan ini Tahniah diucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memperkasakan kod sukan yang selamat dengan mengelak sebarang tajaan aktiviti sukan membabitkan Syarikat Tembakau, Rokok Elektronik, Alkohol serta yang berunsur Perjudian.

-SEKIAN-