Mi-Voice MIC News

Isu Tajaan Syarikat Arak Kepada Sekolah: Kerajaan Perlu Tegas, Polisi KPM Jangan Diperlekehkan

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN MIC KEBANGSAAN
THINALAN T. RAJAGOPALU

Parti MIC menggesa Kerajaan agar bertindak tegas di dalam melaksanakan polisi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menetapkan tata cara penerimaan sumbangan bagi sekolah adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani di bawah pekelilingnya bertarikh 29 Mac 2018 (perkara 7.3).

Ini adalah berikutan isu kontroversi yang mengundang pelbagai persepsi ketika ini, iaitu sumbangan tajaan syarikat arak kepada sebuah sekolah baru-baru ini, di mana program berkenaan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang di antaranya menyatakan tidak ketahui akan polisi KPM berkenaan.

Kami difahamkan bahawa isu berkenaan kini di bawah siasatan KPM, dan menterinya YB Fadhlina Sidek telah menegaskan KPM tiada niat untuk mengkaji semula polisi yang ditetapkan bagi institut pendidikan di dalam menerima sebarang sumbangan. Beliau tegas semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan.

Pada masa yang sama, MIC juga ingin menasihati Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke agar peka dan akur akan polisi dan ketetapan KPM, dan bukannya mempersoalkannya di mana beliau telah menyatakan akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat kabinet.

Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan Dr Muhamad Akmal Saleh, MIC bersetuju kerajaan harus mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana mahupun melakukan aktiviti di sekolah. Polisi tersebut tidak harus diperlekehkan ataupun dibelakangkan di atas desakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

MIC menghargai sebarang usaha pembangunan sekolah dari segi prasarana infrastruktur mahupun kualiti pendidikan oleh pihak-pihak bekepentingan seperti pentadbiran sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan sebagainya. Tetapi usaha berkenaan perlulah di bawah lunas polisi kerajaan.

-Tamat-