Mi-Voice MIC News

MP Batu yang perlu matang, Jangan samakan tuntutan pengiktirafan sebagai ugutan – Thinalan Dato’ T.Rajagopalu, Ketua Penerangan MIC

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan Ahli Parlimen Batu yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan P. Prabakaran yang menyeru parti MIC mengambil pendekatan matang agar kekal relevan, dan menyamakan tuntutan pengiktirafan yang dibuat MIC sebagai ugutan terhadap Perdana Menteri.

Saya berpendapat P. Prabakaran yang harus bertindak matang dan memahami konteks keseluruhan ucapan serta pendirian pemimpin MIC di dalam Perhimpunan Agung Ke-77 yang berlangsung semalam, dan bukannya mencari kesensasian dengan merujuk kepada sebahagian kecil petikan ucapan terbabit.

Ingatlah, Kerajaan Perpaduan yang memerintah hari ini adalah hasil nasihat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang ingin mengakhiri kemelut politik negara pasca PRU-15. Pelbagai parti politik yang sebelum ini merupakan seteru dengan dasar berbeza bergabung demi kestabilan politik dan negara. Maka, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dijulang sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab memastikan konsensus yang dicapai dengan memberi perhatian kepada keperluan dan tuntutan setiap parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Adalah jahil bagi mengertikan tuntutan pengiktirafan sebagai ugutan terhadap Perdana Menteri. Pengiktirafan yang disuarakan MIC bukanlah menjurus kepada tuntutan jawatan, sebaliknya tindakan pro aktif kerajaan terhadap isu-isu masyarakat India yang memerlukan tindakan dan penyelesaian kerajaan. Malah, Perdana Menteri sendiri ketika lawatan rasmi ke Ibu Pejabat MIC telah memohon masa setahun bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat India negara ini.

Perdana Menteri adalah Ketua Kerajaan buat rakyat jelata, dan beliau tidak kebal dari sebarang kritikan dan tuntutan. Tetapi segala kritikan dan tuntutan berkenaan haruslah bersifat rasional dan membina. MIC yang memperjuangkan nasib masyarakat India selama hampir 8 dekad tidak pernah berganjak dari menyuarakan keperluan dan isu masyarakat, dengan ataupun tanpa memegang jawatan kerajaan.

Ulasan P. Prabakaran agar sebarang permintaan MIC kepada Perdana Menteri harus dibuat melalui Barisan Nasional juga bersifat menidakkan akses dan hak MIC sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan. Tatkala Perdana Menteri sendiri bersikap terbuka di dalam menyemai budaya politik matang, tak usahlah berlagak sebagai “Little Napolean” semata mata untuk menyejukkan pucuk kepimpinan parti dan mengejar populariti demi kepentingan peribadi.

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment