Mi-Voice MIC News

PENDEDAHAN TAJUDDIN AMAT SERIUS, PRESIDEN UMNO & BOSSKU HARUS TAMPIL MEMBERI PENJELASAN

Saya merujuk kepada pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, YB Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa sememangnya wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Sokongan bagi Presiden PKR sebagai calon PM dikatakan telah diusahakan oleh Presiden UMNO, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut disokong oleh Penasihat Barisan Nasional YB Dato’ Seri Mohd Najib Razak sebagai membentuk jajaran baharu politik antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Tajuddin berkata pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak ini sesungguhnya amat mengejutkan dan penyokong akar umbi makin mendesak menuntut penjelasan daripada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, khasnya YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan YB Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

Jika benar memang ada usaha mengumpul SD menyokong Anwar sebagai PM, apakah rasional dan keperluan mendukung pemimpin parti lawan tersebut? Adakah terdapat sebarang kepentingan politik tersirat dan tersurat demi agenda peribadi? Jika dakwaan Tajuddin terbukti benar, maka Majlis Tertinggi Barisan Nasional harus mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan kadar segera.

Sebaliknya, jika pendedahan Tajuddin adalah fitnah, kenapakah tiada sebarang penafian sehingga saat ini daripada kedua-dua pemimpin berkenaan? Jangan melengahkan tindakan undang-undang ke atas Tajuddin di atas fitnah yang parah ini.

Pendedahan YB Datuk Seri Tajuddin sudah mencetuskan pelbagai spekulasi di peringkat akar umbi, di mana penyokong tegar sendiri mula mempersoalkan integriti dan keikhlasan kepimpinan UMNO dan BN, memandangkan YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sentiasa melaungkan “No Anwar! No DAP!”.

Kecelaruan pendirian dan hala tuju kepimpinan UMNO dan BN sebegini bagai menafikan aspirasi dan keyakinan anak-anak muda terhadap konsep dan muafakat BN, dan seterusnya menggugat semangat serta persiapan jentera kita di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Maka, saya memohon tindakan segera YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan YB Dato’ Seri Mohd Najib Razak bagi tampil memberi penjelasan terhadap segala pendedahan YB Datuk Seri Tajuddin, menjernihkan kekeruhan politik semasa. Sebarang kelewatan atau keengganan menangani isu ini hanya akan memudaratkan BN.

Thinalan Dato’ T. Rajagopalu
Ketua Penerangan MIC Kebangsaan

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment