Mi-Voice MIC News PRN Johor 2022

Sokongan masyarakat India kepada BN bukan retorik – Vigneswaran

KLUANG – Kemenangan dua pertiga dengan majoriti cukup memberangsangkan oleh calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukti sokongan rakyat.

Malah majoriti kaum India yang pernah menjauhkan diri dari MIC sebelum ini kini kembali malah sokongan dan kepercayaan mereka semakin bertambah.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, kemenangan BN telah membuktikan bukan sahaja pengundi Melayu sebaliknya Cina dan India serta lain-lain juga yakin inilah gabungan parti yang mampu membawa kestabilan dan kemakmuran bukan sahaja kepada rakyat Johor sebaliknya keseluruhan rakyat di negara ini.

“Tahniah kepada semua, saya dari awal lagi yakin kemenangan sememangnya akan berpihak kepada kita selepas Sarawak dan Melaka. Belum kira lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Sememangnya bukan retorik lagi untuk menyatakan sokongan rakyat Malaysia sudah kembali kepada BN seperti mana dakwaan segelintir pihak. Gelombang itu sudah nampak sejak Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Rakyat tahu apakah kebaikan dan sumbangan BN kepada mereka bukan hari ini atau semalam sahaja sebaliknya lebih 60 tahun, semua kaum di bawah satu bumbung hidup harmoni dan selesa selama ini.

”Perlu kita ingat, rakyat ukur kita dengan apa yang kita buat untuk mereka dan apa janji kita untuk mereka. Mereka tidak gemar golongan yang hanya menjadi keyboard  warrior sahaja atau sebar sentimen kebencian sepanjang masa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Vigneswaran, sudah pastinya kemenangan itu tidak akan beri BN satu kedudukan selesa sebaliknya BN akan bekerja dengan lebih kuat untuk memastikan kita buat lebih baik pada Pilihan Raya Umum-15.

Keputusan rasmi PRN Johor menyaksikan BN menang 40 kerusi Dewan Undangan Negeri, Pakatan Harapan 12 (satu menggunakan logo PKR), Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1).

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) politik Johor mencetuskan fenomena baharu dalam landskap politik negara apabila negeri menjadi kubu kuat UMNO-BN sejak merdeka, tumbang kepada pembangkang.

PRN Johor menyaksikan persaingan sengit 11 parti politik dan 239 calon, termasuk Bebas bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu, Vigneswaran berpuas hati dengan prestasi yang telah ditonjolkan oleh MIC sepanjang PRN terutamanya di kerusi ditandingi oleh mereka.

“Ada beberapa perkara di sini, pertama kita diisytihar kalah di Bukit Batu dengan 115 undi sahaja dengan lebih 600 undi rosak. Kita sudah arahkan bahagian perundangan untuk lihat perkara ini, ada kemungkinan kita akan ke mahkamah. Kita sedang kaji dulu.

“Bagaimanapun saya gembira dengan prestasi MIC, kerusi yang mempunyai komposisi kaum Cina yang tetapi MIC kalah dengan 115 undi, itu petanda baik. Sokongan masyarakat Cina juga beralih arah. Ini bukan kerusi mudah sebaliknya sengit dan sukar. Tahniah kepada calon dan jentera.

“Selain itu kemenangan MIC di Kahang, Tenggaroh malah Kemelah dengan majoriti besar itu memang kira raikan. Apatah lagi kita memang bekerja keras, selain BN, jentera MIC termasuklah semua kepimpinan turun membantu, usaha keras itu buahkan hasil, kita turun berjumpa dengan masyarakat setempat dengar luahan dan harapan mereka. Kita yakinkan mereka kitalah yang mampu membela rakyat kita.

“Perjuangan kita belum selesai lagi, banyak yang perlu dilakukan. MIC akan perhebatkan strategi sebagai persediaan pilihan raya yang lebih besar,” ujarnya.
MIC menang tiga kerusi melalui R. Vidyananthan untuk DUN Kahang, Raven Kumar DUN Tenggaroh dan N. Saraswathy bagi DUN Kemelah manakala S. Suppayah kalah 115 undi dengan PKR di DUN Bukit Batu. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/03/13/sokongan-masyarakat-india-kepada-bn-bukan-retorik-vigneswaran/