Mi-Voice MIC News

Rakyat positif terima BN, bakal menang besar PRN Johor – Saravanan

SEGAMAT – Penerimaan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan rakyat terutamanya sokongan masyarakat Cina dapat dirasai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan teruja melihat perkembangan itu dan mendakwa menyaksikan sendiri bagaimana pengundi menyatakan betapa mereka merindui kerajaan BN.

“Terus terang saya katakan, sokongan masyarakat Melayu dan India yang dari dulu menyokong kita semakin meningkat, yang sebelum ini atas pagar juga kelihatan yakin dengan BN kini.

“Tetapi apa yang lebih buat saya teruja apabila melihat kaum Cina kini bersedia menerima dan mengakui BN mampu memberikan kestabilan politik di negara ini.

“Tengok sendiri bagaimana belum lagi genap tiga tahun, parti lawan yang sebelum ini bersatu kini sudah melahirkan lima lagi parti dalam kalangan mereka dan sedang bersaing antara satu sama lain termasuklah di PRN Johor ini.

“Baru sekali BN serah kuasa kepada pihak lawan setelah berkuasa lebih 60 tahun, sudah macam-macam berlaku dalam tempoh tidak sampai lima tahun tetapi apa yang lebih menyakitkan dan menyedihkan apabila rakyat yang terpaksa menanggung derita itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan calon BN DUN Kemelah, N. Saraswathy di sini hari ini.

Kata Saravanan lagi, pihak lawan banyak menggunakan isu yang rakyat sudah muak terutamanya hal berkaitan kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah pada masa ini.

“Sampai bila mereka hendak cakap isu-isu ini? Kita hendak bercakap tentang isu rakyat. Isu bagaimana hendak bawa masuk pelabur yang semakin menjauhkan diri dari kita sejak kejatuhan BN pada PRU lepas.

“Bukan sahaja kemerosotan ekonomi sebaliknya rakyat juga menderita kerana peluang pekerjaan semakin sukar. Namun pihak lawan seperti biasa lebih berminat untuk hanya bercakap tentang isu-isu berkait dengan segelintir pemimpin politik dan bukannya keperitan dilalui rakyat.

“Pada saya semua ini sudah cukup. Pemimpin yang sedang berdepan dengan kes mahkamah masih lagi sedang turun naik mahkamah, mereka tidak gunakan Perdana Menteri yang ada sekarang untuk melepaskan diri.

“Perdana Menteri juga telah membiarkan mahkamah untuk menentukan pendakwaan-pendakwaan ini,” katanya.- MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/03/08/rakyat-positif-terima-bn-bakal-menang-besar-prn-johor-saravanan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment