MIC Youth PRN Johor 2022

Raven mahu cipta kemenangan hatrik DUN Tenggaroh

MERSING – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh tidak mahu memandang rendah kemampuan calon lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Raven Kumar Krishnasamy juga tidak mempunyai tanggapan bahawa DUN Tenggaroh adalah kerusi tradisi dan kubu kuat BN sehingga tidak perlu berkempen bersungguh-sungguh.

Pada PRN Johor, Raven Kumar akan berdepan calon Perikatan Nasional, Pejuang dan PKR namun misinya untuk mencipta hatrik mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga berturut-turut.

“Hampir setiap hari saya berkempen sejak menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Tenggaroh.. jika kata tak perlu heavy kempen itu tak betul.. kita tidak boleh mempunyai persepsi sebegitu.

“Jika kamu mengambil ringan kekuatan lawan, kami akan susah umpama pasukan besar kalah kepada pasukan kerdil dalam bola sepak kerana pandang enteng kekuatan lawan..kita perlu hormati semua pesaing kita.

“Saya menghormati dan mengambil serius kekuatan pihak lawan dan yakin mereka juga mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri untuk meyakinkan pengundi namun ia tak lunturkan keyakinan saya mempertahankan kerusi ini untuk penggal ketiga nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tanpa berselindung beliau juga mengaku fokusnya memenangi DUN Tenggaroh untuk BN menjadi keutamaannya berbanding niat menambah majoriti undi.

“Buat masa ini, saya tidak memberi memikirkan mengenai soal menambah majoriti undi kerana keutamaan saya hanya mahu menangkan kerusi itu untuk parti saya.

“Kalau dapat menambah majoriti itu satu kelebihan dan saya akan gembira juga kerana rakyat menjadi saksi serta menilai khidmat saya selama dua penggal lalu,” katanya.

Justeru, kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Kebangsaan tidak dilihat sebagai beban tambahan sebaliknya platform baginya mendekati anak-anak muda untuk menyampaikan segala agenda pembangunan yang dirancang kepada mereka.

Berkongsi pengalaman penggal pertamanya berkhidmat sebagai wakil rakyat Tenggaroh, Raven Kumar menambah hampir setiap hari beliau turun ke lapangan menerima aduan penduduk tempatan untuk diselesaikan.

“Hanya kertas permohonan dan aduan sahaja bertambah tetapi cabarannya dalam menyelesaikan segala aduan itu susah kerana saya perlu mencari masa yang lama untuk duduk meneliti masalah mereka satu persatu untuk dirujuk kepada pihak atas dalam kerajaan.

“Saya perlu juga bersabar dalam mendapatkan temujanji kepada pengarah jabatan agensi kerajaan negeri dan sebagainya sebelum bertemu mereka serta meminta menyelesaikan masalah pengundi Tenggaroh,” ujarnya.- MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/02/27/raven-mahu-cipta-kemenangan-hatrik-dun-tenggaroh/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment