MIC Youth

Kuasa Undi 18 bukan untuk digeruni

KEBIMBANGAN banyak pihak terhadap pelaksanaan Undi 18 adalah sikap emosi yang ditunjukkan oleh pengundi muda sebelum ini. Mereka dikatakan mudah termakan gula-gula manis manifesto pilihan raya sehingga mereka terpedaya memilih parti yang hanya pandai menabur janji.

Tambahan dalam era media sosial di mana maklumat benar dan palsu, fakta dan fitnah bersimpang siur dalam masa sebenar, menyebabkan mereka yang tidak berhati-hati akan mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

Justeru adakah satu kesilapan memberikan hak Perlembagaan kepada pengundi berusia 18 tahun hingga 20 tahun untuk memilih parti yang akan mentadbir negara? Kesilapan memilih kerajaan bukan hanya menghukum pengundi tetapi juga keseluruhan rakyat!

Jadi pengundi rasional, bukan emosi

Memberikan hak mengundi bermula umur 18 tahun bukan satu kesilapan. Siapa sahaja yang layak untuk memilih kerajaan sepatutnya diberikan hak tersebut kerana mereka juga mempunyai peranan dalam mencorakkan pembangunan negara.

Bagaimanapun menurut Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar, pengundi 18 dan golongan muda perlu bersikap rasional dalam memilih parti yang akan menjadi kerajaan ketika pilihan raya.

Golongan ini tidak seharusnya bertindak emosi dan mudah terpengaruh dengan dakyah tidak sahih yang disebarkan di media sosial.

Justeru, menjadi tugas kepada pemimpin masyarakat untuk membimbing golongan muda ini untuk bertindak sebagai pengundi yang bersikap rasional.

“Kadang kala kita dapat banyak mesej antaranya berbentuk klip video. Adakah video ini baru atau lama? Kadang-kala video lama pada masa diucapkan oleh individu itu adalah betul. Tapi lepas tiga, empat tahun ucapan itu nampak salah. Kemudian ditularkan.

“Kalau dia cakap PTPTN dibatalkan, tol dihapuskan, pengundi jadi emosi. Tapi bila mereka jadi kerajaan, mereka tak boleh buat, sebab benda itu memang tak boleh dilaksanakan. Sebab itu kita kena rasional.

“Orang boleh janji masa pilihan raya itu dan ini. Tengok secara rasional. Benda ini boleh dibuat atau tidak?” kata Raven Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tengaroh (ADUN) selama dua penggal.

Jika dipilih untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Raven Kumar akan berhadapan 10,000 pengundi baharu.

Kata Ravin Kumar, beliau yakin pengalaman yang dilalui rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pengundi terutama golongan muda akan memilih calon dan parti yang membuat kerja untuk rakyat.

Tiga jenis pengundi muda

Dari sudut biologi, golongan berusia 18 tahun dan ke atas telah matang dan mencapai umur kedewasaan. Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Exco Puteri UMNO Dr. Masliha Harun yang merupakan doktor perubatan berkata, anak muda mempunyai semangat yang membara dengan prinsip perjuangan yang rentan.

Cuma, segelintir mereka mudah dimanipulasi dan diperkotakkatikkan oleh setengah-setengah pemimpin parti politik yang hanya menggunakan golongan muda untuk kepentingan politik.

“Tak patutlah kita mempukalkan seluruh anak muda ini bersikap macam senang ditipu, dimanipulasi. Tidak dinafikan berlaku pada PRU 2018, tapi sudah tentu janji-janji manis seperti PTPTN percuma, saya pun nak percuma,” jelas beliau.

Pengerusi Badan Bertindak Undi 18 Puteri UMNO itu berkata, pengundi 18 ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Golongan pertama adalah remaja yang minat dengan politik. Mereka telah didedahkan sejak dari kecil oleh anggota keluarga seperti ibu bapa yang bergiat aktif dalam politik. Kumpulan ini senang untuk didekati kerana mereka mempunyai kefahaman mengenai politik, polisi dan dasar negara.

Kumpulan kedua adalah mereka yang bencikan politik. Golongan ini akan menentang apa sahaja yang dibuat oleh parti politik, tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang. Bagaimanapun kumpulan ini tidak ramai dan hanya mewakili beberapa peratus pengundi. Kumpulan ini sepatutnya didekati.

“Golongan yang ketiga adalah mereka yang tak hendak ambil tahu langsung hal politik. Tak kisahlah apa yang berlaku, janji dia cukup makan, cukup pakai. Ini adalah golongan atas pagar.

“Pada PRU-14 kita kalah akibat daripada golongan atas pagar ini. Kerana golongan ini mudah dihasut dan mudah terpedaya,” jelas beliau.

Dr. Masliha berkata, kumpulan terbabit menentang kerana mereka tidak mengetahui sesuatu isu. Seharusnya mereka diberikan penjelasan, seperti seorang doktor yang memberikan ubat kepada pesakit. Pesakit itu perlu diberi penerangan mengenai ubat-ubat tersebut dan bila untuk memakannya.

Begitu juga dalam mencorak anak muda. Katanya, kumpulan ini perlu tahu kenapa mereka harus mengundi, kenapa mereka perlu tahu polisi negara dan apa pentingnya terhadap masa depan mereka.

Tambahnya, kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada PRU-14 turut memberi pengajaran kepada anak muda.

“Sebenarnya kekalahan BN itu telah membuka minda seluruh rakyat Malaysia bahawa tol tidak boleh percuma, kita sudah laungkan banyak kali, tapi mungkin pada masa itu kita di peringkat kerajaan, orang kata awak kerajaan bolehlah pertahankan.

“Masa itu kita sudah katakan GST adalah satu sistem percukaian yang telus, efisyen. Tetapi itulah orang dok membangkang, berhimpun menentang GST.

“Jadi tidak dinafikan selepas kekalahan BN dia sebenarnya membuka minda rakyat, saya boleh nampak minda anak-anak muda dah belajar, anak muda dah sedar,” kata Dr. Masliha.

Tegasnya, semua parti politik harus terbuka terhadap Undi 18 dan seharusnya parti politik mewujudkan satu persekitaran yang harmoni terhadap golongan ini.

Umur bukan ukuran kematangan

Ukuran kematangan bukanlah dari segi umur semata-mata. Ini kerana ada juga orang dewasa yang berusia 30 tahun ke atas masih lagi mudah untuk dipengaruhi dan dimanipulasi.

Menurut Ketua Biro Undang-undang Pemuda MCA Ryan Ho, golongan muda hanya mahu kepentingan mereka terjaga dan ianya boleh dicapai melalui Undi 18.

“Kita mesti membentangkan polisi atau idea untuk menjadikan hidup mereka lebih selesa. Sebagai contoh menaikkan gaji minimum. Beri mereka peluang yang lebih luas untuk menyambung pelajaran.

“Anak muda sekarang mempunyai pemikiran yang sangat berbeza dengan generasi dahulu. Pada usia begini mereka mahukan pekerjaan. Mereka mahukan kestabilan politik dan peluang ekonomi.

“Mereka mahu tahu bagaimana mereka boleh maju ke hadapan. Mereka hanya mahukan peluang dan berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan,” kata Ryan Ho.

Ketua Pasukan Bertindak Undi 18 MCA itu berkata, dengan menjanjikan kemakmuran dan kestabilan boleh menarik minat golongan itu untuk menyokong sesebuah parti.

Justeru katanya, golongan Undi 18 dan golongan muda tidak lagi akan lagi termakan dengan janji-janji manis parti politik.

Untuk rekod lebih lima juta pengundi baharu termasuk mereka yang berusia 18 tahun akan mendapat hak mengundi pada PRU-15 dan lebih 700,000 akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRN Johor nanti.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan Undi 18 dan pendaftaran automatik telah diluluskan Parlimen pada 2019.

Artikel ini adalah bahagian kedua daripada empat siri rencana berkaitan Undi 18.-MalaysiaGazette.

https://malaysiagazette.com/2022/02/05/kuasa-undi-18-bukan-untuk-digeruni/