KUALA LUMPUR – MIC akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad petang ini berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di negeri itu.
Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pertemuan akan diadakan pukul 2 petang ini d Johor Bahru.
Katanya, beberapa perkara akan dibincangakan dalam pertemuan tersebut termasuk mengenai kerusi-kerusi yang boleh diberikan kepada MIC untuk ditandingi.
“Saya akan bertemu dengan Menteri Besar Johor pukul 2 petang ini dan kita akan berbincang adakah ada peluang yang terbaik untuk kita.
“Dan selepas itu saya akan bertemu dengan kepimpinan Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bincang seterusnya kerusi-kerusi mana yang sepatutnya ditandingi oleh MIC untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ulang Tahun Pejuang Kebebasan India, C.B Netaji Subhas di sini, hari ini.
Hadis sama pada majlis itu Presiden Pertaubuhan Kebajikan Netaji S Ratha Krishnan.
Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, hasrat MIC untuk bertanding pada PRN tersebut bukanlah sekadar mengisi kekosongan sebaliknya, mengharapkan kemenangan untuk BN.
“Bukan kita ni nak bertanding supaya kita dapat bertanding…kalau kita tak boleh menang pun tak guna.
“Jadi, perkara yang harus kita pertimbangkan adalah dimana kerusi-kerusi yang jika diberi peluang kepada MIC kita pasti boleh menang,” ujarnya.
Ditanya berapa banyak kerusi yang diharapkan oleh MIC untuk ditandingi pada PRN itu serta kawasan-kawasannya, Vigneswaran berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dan beliau tidak mahu terlalu awal mengeluarkan kenyataan kerana dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pandangan berbeza.
Beliau sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada kepimpinan BN untuk memutuskannya.
Bagaimanapun Vigneswaran memberitahu, terdapat empat atau lima kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang menjadi sasaran MIC untuk ditandingi.
Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11), MIC (dua), Pas (satu) sementara Parti Amanah Nasional (enam) dan PKR pula (tujuh).
Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar Johor pada 21 Disember lalu.
Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa DUN Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2022/01/23/mic-bincang-kerusi-prn-johor-petang-ini/
Add Comment