Mi-Voice MIC News

Bersatu demi ‘Keluarga Malaysia’, Naib Presiden MIC menyambut baik saranan Dr M dan keterbukaan parti pembangkang

KUALA LUMPUR, Ogos 25: Naib Presiden parti MIC, Dato’ T. Murugiah hari ini menyambut baik keterbukaan parti-parti pembangkang mencapai titik persamaan dan kata sepakat untuk bekerjasama dengan kerajaan demi kepentingan rakyat.

“Ini adalah masanya buat semua rakyat bersatu di bawah payung ‘Keluarga Malaysia’ demi pemulihan negara dari segala impak pandemik Covid-19, tanpa mengira pendirian, perspektif atau ideologi politik masing-masing. Terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di atas kesediaan mereka menerima pelawaan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismai Sabri Yaakob.”

“Dengan beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64, sama-samalah kita hayati dan sedari erti kemerdekaan yang kita kecapi melalui pengorbanan dan perpaduan, di luar batasan politik mahupun ideologi individu ketika itu. Cukuplah segala perselisihan dan perbezaan yang memisahkan kita, memecah-belahkan kita kebelakangan ini.”

“Perdana Menteri telah mengutarakan konsep ‘Keluarga Malaysia’ sebagai wadah penyatuan bangsa Malaysia di dalam memerangi wabak pandemik Covid-19 dan menjana semula kebangkitan negara. Ayuh kita belakangkan kepentingan dan motif peribadi, barsatu dan mara ke hadapan dengan menangkis segala cabaran yang kita hadapi sekarang,” kata Murugiah di dalam kenyataan beliau

Hari ini telah berlangsung perjumpaan tertutup di antara Ismail Sabri dan Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Mat Sabu serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya sebagai susulan komitmen Perdana Menteri untuk melibatkan bersama parti-parti pembangkang di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta Jawatankuasa Khas Covid-19.

“Saya juga mengalu-alukan kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa tidak wajar dan tiada keperluan undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen kerana ianya boleh membawa kesan negatif terhadap imej negara di peringkat antarabangsa. Walaupun Tun Dr Mahathir tidak sehaluan dengan kerajaan, pendirian beliau adalah demi masa hadapan negara.”

“Saya berharap lembaran baru di dalam arena politik negara ini akan memastikan agenda pemulihan negara berjalan lancar dan mantap” tambah Murugiah lagi.

https://gerakmalaysia.com/2021/08/25/bersatu-demi-keluarga-malaysia-naib-presiden-mic-menyambut-baik-saranan-dr-m-dan-keterbukaan-parti-pembangkang/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment