KUALA LUMPUR, Jul 13: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kementeriannya sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Amerika Syarikat dalam usaha menambahbaik penguatkuasaan dalam meningkatkan jumlah sabitan kes buruh paksa.
“Hari ini saya berpeluang mengadakan perbincangan bersama Duta Besar Amerika Syarikat (AS) TYT Brian D. McFeeters. Perbincangan ini antaranya berkisarkan tentang penilaian tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang serta kerjasama strategik bagi menangani isu pemerdagangan orang khususnya buruh paksa.”
“Menerusi perbincangan ini, saya menyatakan komitmen dan kesediaan KSM untuk bekerjasama bersama kerajaan AS di dalam perkara ini,” kata Saravanan selepas perjumpaan bersama Duta Besar AS berkenaan.
Menurut Saravanan, isu buruh paksa terutamanya membabitkan pekerja asing adalah satu isu yang menjadi keutamaan kepada Kerajaan, susulan daripada laporan JNAS dan juga beberapa laporan dan kajian oleh pelbagai institusi antarabangsa. Malah, kajian terbaharu oleh Modern Slavery & Human Rights Policy and Evidence Centre (The Modern Slavery PEC) bertajuk “Forced Labour in the Malaysian Medical Gloves Supply Chain during the COVID-19 Pandemic” turut menyentuh isu buruh paksa ini di sektor pembuatan sarung tangan getah.
“Dalam menangani isu buruh paksa, tidak hanya kerjasama merentasi pelbagai Kementerian dan Jabatan/Agensi Kerajaan yang diperlukan, sebaliknya kerjasama dengan negara-negara luar, pertubuhan antarabangsa, pertubuhan bukan Kerajaan dan masyarakat madani juga memainkan peranan yang penting.”
“Dalam perbincangan ini, saya juga memaklumkan kepada TYT Brian D. McFeeters mengenai inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian bagi menangani isu buruh paksa. Antaranya termasuklah penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (AKta 265) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di mana sepanjang tahun 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 194 kertas siasatan telah dibuka.”
“Selain itu, KSM dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga sedang dalam usaha membangunkan satu Pelan Tindakan Nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan serta dilancarkan pada suku keempat tahun ini,” kata Saravanan lagi.
Bagi memudahkan aduan membabitkan isu-isu perburuhan, aplikasi mobil Working for Workers (WFW) telah dilancarkan sejak awal bulan Mei 2021 dengan 17 kategori aduan. Ini adalah satu platform bagi para pekerja untuk mengutarakan permasalahan mereka. Sehingga 11 Julai 2021, sejumlah 5,675 aduan telah diterima dan sebanyak 4,105 telah diambil tindakan oleh pihak Kementerian.
“Semua cadangan dan komen konstruktif yang diterima daripada laporan tahunan JNAS 2021 serta kajian Modern Slavery PEC akan diteliti oleh pihak KSM bagi memperbaiki langkah-langkah sedia ada, di samping memastikan satu pendekatan yang menyeluruh dan berstruktur di atas kapasiti KSM selaku pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran,” ujar Saravanan.
Add Comment