KUALA LUMPUR, Mei 25: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mempertahankan jawatannya tanpa sebarang cabaran bagi sesi 2021-24 di dalam proses penamaan calon yang berlangsung pada hari ini di ibu pejabat MIC, Kuala Lumpur.
Proses penamaan calon yang dijalankan dengan pematuhan SOP Covid-19 menyaksikan Vigneswaran mendapat mandat daripada 3620 cawangan MIC dari seluruh negara. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri G. Rajoo.
Tan Sri SA Vigneswaran yang mengambil alih kepimpinan MIC pada tahun 2018 ketika parti MIC memikul tanggungjawab sebagai parti pembangkang buat pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau membuka lembaran baru dalam perjuangan MIC dan kepimpinan beliau ternyata dinamik, membawa nafas dan semangat baru buat parti MIC dan ahli-ahlinya.
Pelbagai agenda dan pembaharuan yang diilhamkan oleh Tan Sri Vigneswaran demi kebangkitan parti MIC dan juga komuniti, jelas mencerminkan komitmen dan fokus beliau bagi melaksanakan amanat berat yang dipikul. Hari ini MIC dilihat dapat menyantuni keperluan dan aspirasi masyarakat dengan penuh efektif dan efisien. MIC unggul dan teguh sebagai suara perjuangan dan aspirasi masyarakat India.
Mengulas mandat baru yang diterima Vigneswaran untuk terus memimpin parti, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata ianya jelas mencerminkan keyakinan dan sokongan bersepadu seluruh akar umbi parti terhadap kewibawaan kepimpinan Vigneswaran.
”Dengan mandat baru ini, Presiden akan dapat meneruskan pelbagai agenda pembangunan masyarakat dengan efektif dan terus memartabatkan kegemilangan parti kita yang berusia 75 tahun. MIC akan terus bergerak maju dan mantap,” kata Saravanan.
Add Comment