Mi-Voice MIC News

Laksanakan metodologi latihan norma baharu, Saravanan saran ILK

PUTRAJAYA, Feb 13: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyaran semua Pusat Bertauliah dan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/ILKS) untuk merancang perubahan metodologi latihan dengan melaksanakan latihan secara Norma Baharu.

Pendekatan baru perlu dibangunkan oleh Pusat Latihan, Pakar Negara dan Tenaga Pengajar TVET supaya selari dengan teknologi terkini IR4.0 agar hasil pembelajaran dapat dimanfaatkan oleh para pelajar semasa arahan PKP Pandemik COVID-19 ini dan seterusnya dijadikan amalan yang berterusan (Norma Post Pandemic COVID-19).

“Kementerian Sumber Manusia akan meneliti keperluan baharu ini dan akan mendapatkan input serta pandangan dari Pusat-pusat Bertauliah dan ILKA/ILKS untuk mencari satu kaedah dan solusi terbaik supaya ia boleh dijadikan model PdPD (Pengajaran dan Pembelajaran Digital) yang berkesan bagi latihan dalam bidang kemahiran masing-masing.”

“Selain itu, ILKA dan ILKS perlu mengambil peluang melalui dana-dana yang disediakan oleh Kerajaan antaranya seperti PENJANA HRDF menerusi program Reskilling and Upskilling serta Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah PERKESO. Pelaksanaan program seperti ini akan dapat membantu ILKA dan ILKS menjana pendapatan untuk mengekalkan operasi di samping membantu peserta program meningkatkan keupayaan dan peluang kebolehkerjaan yang tinggi,” kata Saravanan di dalam kenyataan media beliau.

Saravanan turut menjelaskan ianya juga adalah sebagai persiapan dan penyediaan tenaga kerja mahir apabila ekonomi negara kembali pulih dari pandemik ini. Di samping itu, ini juga adalah peluang dan ruang kepada ILKA dan ILKS untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran tenaga pengajar sedia ada melalui program-program yang disediakan oleh KSM.

“Buat masa ini, semua ILKA dan ILKS adalah tertakluk dengan arahan semasa MKN dalam sektor Pendidikan dan Perkhidmatan Latihan yang terkesan dengan PKP. Oleh yang demikian, ILKA dan ILKS perlu merujuk kepada Arahan Semasa MKN dan pemakluman berkaitan latihan kemahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dari semasa ke semasa. Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) bagi maksud latihan kemahiran selaras dengan Pengumuman Arahan PKP juga telah dikeluarkan di laman web www.dsd.gov.my.”

“SOP yang ketat disediakan agar semua Pusat Bertauliah dapat beroperasi dengan Norma Baharu.  Ini demi menjamin kesihatan dan keselamatan serta mengawal penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warga ILKA/ILKS,” tambah Saravanan lagi.

https://www.thesentral.my/2021/02/13/laksanakan-metodologi-latihan-norma-baharu-saravanan-saran-ilk/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment