KUALA LUMPUR, Jan 5: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan hari ini menyaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil memberi penjelasan berkenaan permohonan pengeluaran skim i-Sinar yang ditolak meskipun pencarum terbabit memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Kami menerima banyak aduan dari pencarum bahawa permohonan i-Sinar mereka ditolak apabila dibuat semakan secara online sejak semalam. Mereka ini sememangnya amat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan implikasinya. Harapan mereka bagi menarik nafas lega melalui pengeluaran skim i-Sinar bagi meringankan bebanan keluarga mereka bagai terkecai sama sekali,” kata Kesavan Kandasamy, Bendahari Pemuda MIC Kebangsaan.
“Pemuda MIC sangat kecewa dan tidak faham bagaimana penilaian kriteria pengeluaran diproses oleh KWSP, dengan mereka yang sesungguhnya layak dan memenuhi kriteria tidak lulus permohonan mereka. Sepatutnya Kerajaan mendengar cadangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional agar semua pencarum dibenarkan pengeluaran caruman ‘one-off’, bukannya secara bersyarat,” tambah Kesavan lagi.
KWSP sebelum ini telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran simpanan Akaun 1 melalui skim i-Sinar dengan permohonan dilakukan mulai 21 Disember lepas. Semakan keputusan permoonan telah bermula semalam. KWSP memaklumkan i-Sinar akan memberi manfaat kepada ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat.
Sebelum ini, pemimpin-pemimpin BN telah menggesa kerajaan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada semua pencarum KWSP tanpa syarat, namun Kerajaan telah mengambil keputusan mengenakan syarat pengeluaran dengan pembayaran secara berperingkat.
“Kami Pemuda MIC menggesa kerajaan, khasnya KWSP agar meneliti rintihan pencarum yang layak bagi membuat pengeluaran skim i-Sinar, tetapi dinafikan ak mereka. Perbaikilah sistem i-Sinar agar ia tidak membebankan rakyat, khasya kumpulan B40 yang sangat mengharapkan dana tersebut demi kelangsungan kehidupan mereka,” saran Kesavan.
Pemuda MIC kecewa permohonan i-Sinar KWSP ditolak walaupun pencarum menepati kriteria
Add Comment