KAJANG, 21 Dis — Terkejut dengan keadaan penginapan pekerja yang sempit, berbau hancing dan kotor semasa menyertai operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Batu 13, Jalan Cheras, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan menggesa golongan majikan agar mematuhi syarat Akta 446 dengan menyediakan penginapan yang selesa kepada pekerja tidak kira warga asing atau tempatan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.
Saravanan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Saya memberi amaran kepada semua majikan supaya membela nasib pekerja dengan menyediakan tempat penginapan yang selesa dan mengikut kapasiti yang ditetapkan. Jika permohonan penginapan adalah untuk 100 pekerja, maka hanya 100 orang yang dibenarkan tinggal di situ,” katanya.
Saravanan berkata mana-mana majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Mengenai operasi di kilang yang mempunyai 759 pekerja dengan 737 daripadanya warga asing dan 22 warga tempatan itu, Saravanan berkata penginapan pekerja berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kesemua pekerja asing di kilang itu belum membuat ujian saringan COVID-19.
“Hamba zaman moden… lebih teruk keadaan berbanding prakemerdekaan. Saya masih tidak boleh percaya wujud tempat macam ini di Malaysia.”
“Saya amat sedih melihat keadaan ini… walaupun kita pernah lihat ini ketika dijajah British sebelum kemerdekaan. Saya sebagai menteri amat malu melihat keadaan seperti ini yang cukup teruk yang saya lihat setakat ini,” kata beliau.
Add Comment