Mi-Voice MIC News

‘Darurat’ mampu memudaratkan negara, usahakan penyelesaian secara konsultasi dan konsensus – Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Okt 25: Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah menyaran kerajaan agar mempertimbangkan semula cadangan implementasi ‘darurat’ bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia, dan mengusahakan penyelesaian secara konsultasi dan konsensus bersama semua pihak berkepentingan.

“Desas-desus mengenai cadangan implementasi ‘darurat’ oleh kerajaan Perikatan Nasional sejak beberapa hari yang lepas makin membimbangkan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Pelbagai definisi dan takrifan diberi kepada istilah ‘darurat’ tersebut. Namun, implikasinya sudah pasti akan memudaratkan negara dan rakyat dari segi ekonomi dan kesejahteraan, dengan persepsi negatif negara luar yang akan mengakibatkan pelaburan asing serta eksport Malaysia menguncup,” kata Dato’ T. Murugiah di dalam kenyataan media beliau.

Cadangan perlaksanaan ‘darurat’ tersebut yang diputuskan di dalam mesyuarat kabinet khas pada Jumaat lepas kini sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang dimaklumkan akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung perkara itu hari ini.

“Apakah ‘darurat’ satu-satunya penyelesaian yang dapat memastikan usaha kerajaan menangani krisis Covid-19? Tidak sama sekali. Memang benar ketidakstabilan politik negara ketika ini mungkin menghalang Bajet 2021 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan daripada diluluskan di Parlimen, yang seterusnya pasti mencetuskan satu lagi krisis politik.”

“Persepsi umum dan negara luar terhadap cadangan ‘darurat’ adalah ianya satu usaha terdesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk berpegang kuasa, walaupun objektif Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin adalah demi memastikan tiada kecelaruan dan gangguan di dalam melaksanakan strategi pemulihan Malaysia dari wabak Covid-19 dan krisis ekonomi, bukannya bermotifkan politik. Tetapi yang pastinya jika ‘darurat’ dilaksanakan, ianya bagai mencerminkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional di dalam mentadbir negara,” tambah Murugiah.

“Saya senada dengan pendirian Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Mohamad Hasan yang menggesa kerajaan menangani krisis Covid-19 dengan mempertahankan perlembagaan serta membenarkan demokrasi berfungsi. Covid-19 hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan. Kerajaan harus menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data.”

“Maka, saya menyeru Kerajaan Perikatan Nasional agar mengusahakan penyelesaian secara konsultasi dan konsensus bersama pihak pembangkang. Duduk semeja, bincangkan strategi pemulihan negara dari wabak Covid-19 dan impak ekonomi yang wujud, pastikan Bajet 2021 diterima secara sebulat suara di Parlimen. Jika pihak pembangkang masih ingin mengambil kesempatan dari ketidakstabilan politik yang wujud kini dan bertindak menghalang Bajet daripada diluluskan demi tujuan menjatuhkan kerajaan, ianya jelas mencerminkan kerakusan kuasa mereka.”

“Biarlah kita bertindak berpegang kepada perlembagaan negara. Jika pilihanraya umum perlu juga diadakan demi memberi mandat yang lebih kuat kepada kerajaan pilihan rakyat, kita tidak boleh menafikan hak rakyat. Jika Singapura, New Zealand, Korea Selatan dan mahupun Amerika Syarikat boleh menjalankan pilihan raya tatkala penularan Covid-19, kita juga mampu menjalankan PRU dengan penguatkuasaan SOP yang ketat dan menyeluruh.”

“Ketepikanlah cadangan perlaksanaan ‘darurat’ demi negara dan rakyat,” seru Murugiah kepada kerajaan.

‘Darurat’ mampu memudaratkan negara, usahakan penyelesaian secara konsultasi dan konsensus – Naib Presiden MIC

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment