Mi-Voice MIC News

Perhalusi SOP PRK Batu Sapi, elak kluster baru – Naib Presiden MIC saran SPR

KUALA LUMPUR, Okt 19: Naib Presiden MIC Kebangsaan, Datuk T. Murugiah hari ini menyaran Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) agar mengkaji dan memperhalusi SOP yang perlu diamalkan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan kewujudan kluster baru Batu Sapi.

“Cukuplah impak Pilihan Raya Negeri Sabah yang menjadi sebab utama wujudnya gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia yang lebih besar dan lebih serius hari ini. Meskipun pihak SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia menggariskan SOP kempen serta proses mengundi bagi PRN Sabah, namun segalanya bagai tidak efektif.”

“Rata-rata kesemua parti, calon dan penyokong membelakangkan tatacara SOP yang dikenakan dan rakus berkempen sehingga mencetuskan kesan yang kita melihat pada hari ini. Kempen beramai-ramai, tiada pengamalan penjarakan sosial, bersalaman, budaya berselfie kesemuanya dapat kita melihat sepanjang kempen PRN Sabah. Sepatutnya pihak SPR dan pihak berkuasa lebih bertegas di dalam pemantauan mereka dan membatalkan permit berkempen mana-mana pihak yang melanggar tatacara kempen,” kata Datuk T. Murugiah.

PRK Batu Sapi diadakan selepas Ahli Parlimennya, Datuk Liew Vui keong telah meninggal dunia pada 2 Oktober. SPR telah menegaskan bahawa PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan kerusi, selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan. Hari pernamaan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi telah ditetapkan pada 23 November dengan hari undi awal adalah 1 Disember dan hari mengundi pula pada 5 Disember.

“Berdasarkan situasi penularan Covid-19 yang makin parah di Malaysia, khasnya di Negeri Sabah, saya menyaran pihak SPR agar memperketatkan SOP perjalanan proses PRK Batu Sapi, dari proses penamaan calon hinggalah pengiraan undi dan pengumuman pemenang.”

“Batalkan permit berkempen parti yang melanggar SOP secara menyeluruh, hadkan permit berkempen, pastikan pemantauan sepenuhnya ke atas pergerakan dan aktiviti kempen calon bertanding. Pertimbangkanlah pengagihan masa mengundi mengikut umur bagi mengelak pengundi berpusu-pusu pada sesuatu masa. Proses pengiraan dan pengumuman pemenang perlu diadakan secara tertutup, hanya calon dan agen mereka dibenarkan.”

“Jika Singapura dan New Zealand dapat mengadakan pilihan raya umum negara mereka tatkala penularan pandemic Covid-19 secara efisien dengan SOP yang ketat yang dipatuhi rakyat mereka, Malaysia juga mampu melaksanakannya. Biar PRN Sabah menjadi pengajaran kepada kita. Pihak SPR perlu memperkenalkan tatacara PRK, mahupun PRU jika Parlimen dibubarkan, pada kadar segera demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” tambah Datuk T. Murugiah.

https://www.thesentral.my/2020/10/19/perhalusi-sop-prk-batu-sapi-elak-kluster-baru-naib-presiden-mic-saran-spr/