KUALA LUMPUR, Okt 6: Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah mengalu-alukan keputusan kerajaan bagi menangguhkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang sepatutnya bermula pada 7 hingga 24 Oktober ini kepada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021 berikutan penularan mendadak wabak Covid-19 kebelakangan ini.
“Saya sebelum ini telah menyaran kerajaan agar menangguhkan proses Banci 2020 secara bersemuka dan melanjutkan bancian secara talian, e-Census, demi menjamin keselamatan dan kesihatan barisan pembanci serta rakyat yang perlu kita utamakan. Tindakan kerajaan ini tepat pada masanya, dan sebarang risiko penularan baru Covid-19 dengan kluster ‘banci’ dapat dielakkan.”
Lanjutkan tempoh e-Census, tangguhkan proses banci bersemuka, saran Naib Presiden MIC
“Saya sekali lagi ingin menyaran Jabatan Perangkaan Negara agar lebih banyak promosi dipergiatkan demi pemahaman dan tindakan orang ramai bagi mencapai sasaran melebihi 30% melalui e-Census, berbanding kurang 10% yang dicapai sebelum ini,” kata Datuk T. Murugiah.
“Rakyat harus sedar akan kepentingan proses Banci Penduduk dan Perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun. Ianya memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara. Janganlah leka, pastikan data anda dikemaskini, gunakanlah peluang e-Census yang telah dilanjutkan,” tambah beliau lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada hari Isnin telah mengumumkan mengenai penangguhan proses banci bersemuka tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa bancian e-Census yang sudah berakhir pada 30 September lalu akan disambung semula pada 7 Oktober sehingga 21 Disember depan.
Datuk T. Murugiah menasihatkan orang ramai yang belum melengkapkan atau mengisi borang bancian digesa supaya melakukannya melalui laman https://www.mycensus.gov.my/.
Add Comment