Mi-Voice MIC News

PRK Slim: 5 setiausaha agung parti berkongsi pentas

TANJUNG MALIM: Lima setiausaha agung parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat julung kalinya berkongsi pentas bagi menterjemahkan semangat Muafakat Nasional (MN) dan PN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, malam tadi.null

Program itu menampilkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS), Datuk Chong Sin Woon (MCA) dan Datuk M Asojan (MIC).

Yang turut hadir calon BN bagi PRK DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Ceramah yang diadakan di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara, antara lainnya menyentuh isu kerjasama parti PN demi kepentingan negara dan rakyat.

Hamzah berkata, perjuangan yang dibawa adalah untuk kepentingan rakyat tidak mengira bangsa.

“Kita akan terus bersatu dan penyatuan ini bukan untuk parti tetapi untuk kepentingan rakyat seluruh negara tidak mengira bangsa dan masa depan kita bersama.

“BERSATU telah bersetuju menyertai Muafakat Nasional. Jemputan ini kita terima kerana mereka ikhlas, dengan adanya muafakat yang lebih besar ini akan menentukan kejayaan bukan pada pilihan raya ini tetapi mana-mana pilihan raya selepas ini,” katanya.

Takiyuddin pula berkata, kerjasama itu adalah petanda kesepakatan antara semua parti dan menzahirkan tekad dan niat pemimpin untuk terus membela rakyat.

Justeru katanya, penyokong PAS digesa keluar mengundi calon BN supaya kemenangan dapat diraih dalam PRK itu.

Sementara itu Annuar berkata kesediaan UMNO dan PAS bergabung membentuk gabungan yang lebih besar terutama dengan BERSATU berjaya menyelamatkan negara.

Katanya, kerajaan baharu yang terbentuk di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan gabungan pengalaman anggota Kabinet berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Asojan berkata, pemerintahan di bawah PN ketika ini membuktikan negara dibawa ke arah kecemerlangan terutama ketika diuji dengan wabak COVID-19.

Sin Woon pula menyifatkan sejarah tercipta apabila lima setiausaha agung berkongsi pentas demi merealisasikan impian rakyat di negara ini yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu mendukung masa depan negara.

Katanya, sokongan semua kaum iaitu Melayu, Cina dan India dalam PRK DUN Slim bakal memberi kemenangan majoriti yang lebih besar, apatah lagi dengan adanya hubungan pemuafakatan PN dan MN sudah tentu mampu menstabilkan politik negara.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/723792/prk-slim-5-setiausaha-agung-parti-berkongsi-pentas