PUTRAJAYA – Datuk Seri M. Saravanan berjanji dan memberi jaminan akan meneliti secara mendalam setiap permasalahan yang dikemukakan ratusan ribu penghantar makanan e-hailing di negara ini.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, mereka adalah golongan sektor yang penting untuk kerajaan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, semua sektor termasuk sektor penyedia khidmat penghantaran makanan e-hailing berdepan cabaran ekonomi lembap di dalam negara dan juga global sehingga berlaku pengangguran tinggi.
“Saya lihat sektor rider penghantaran makanan ini adalah salah satu sektor penting di negara ini supaya golongan belia tak tercicir dari arus pembangunan dalam kelembapan ekonomi.
“Kita (kerajaan) perlu buat sesuatu untuk menjamin kebajikan dan kehidupan mereka. Saya cuma lihat mereka nak diiktiraf dalam pekerjaan yang diceburi sekarang yang mana mahu peluang pekerjaan dikekalkan dalam sektor relevan itu.
“Jadi saya akan berbincang dengan sektor-sektor terlibat iaitu Grab Food dan Food Panda yang merupakan majikan penyedia khidmat penghantaran makanan e-hailing dan akan cuba buat sesuatu yang terbaik untuk golongan ini mengikut dasar-dasar yang sedia ada,” katanya.~ss
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum menyenaraikan keluhan dan cadangan yang harus diambil untuk menyelesaikan nasib tergantung setiap penghantar makanan negara ini daripada Pengerusi TUNTUT, Azlan Abu Bakar bersama sembilan wakil rider makanan.
Tambah Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, perkara berkenaan juga bukan hanya bergantung kepada kerajaan sahaja sebaliknya ia juga melibatkan pemain industri tersebut yang memerlukan perbincangan untuk menemui titik penyelesaian.
Beliau bagaimanapun boleh memberi jaminan kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri membela semua lapisan masyarakat sepanjang pandemik Covid-19 dengan pelbagai rangsangan ekonomi yang jitu dan menyeluruh.
“Saya baru terima memorandum itu dan belum sempat membuka dan meneliti apa kandungan memorandum tersebut termasuk keluhan dan tuntutan mereka yang mahukan tindakan segera kerajaan.
“Saya sebagai menteri bertanggungjawab perlu peka dengan keluhan dan permasalahan yang dihadapi mereka disamping akan meneliti segala tuntutan mereka petang tadi yang mana kami sangat mengambil berat dengan nasib golongan penghantar makanan ini… akan cuba buat sesuatu.
“Dalam perkara ini tidak boleh janjikan jangka masa bila boleh diselesaikan.. perkara mana boleh ditangani dengan tindakan segera akan kami teliti kemudian saya akan dengar kekangan pihak syarikat selaku penyedia khidmat penghantaran makanan e-hailing itu sebelum capai kata putus yang rasional.
“Kita apabila sampai masa nanti kita perlu melihat dan menerima situasi menang menang itu sahaja. Kita tak sanggup lihat mereka semua jadi pelumba haram akibat kelembapan ekonomi ini yang mana kini mereka adalah penerima pendapatan halal dengan hantar makanan dan kita perlu sokong dan lindungi mereka dengan segala bantuan,” tegas beliau.- MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2020/07/17/saya-jamin-cari-penyelesaian-isu-penghantar-makanan-saravanan/
Add Comment