Mi-Voice MIC News

MITRA kini lebih efektif di bawah Kementerian Perpaduan, Presiden MIC rakam penghargaan

KUALA LUMPUR, Mei 23: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran hari ini menzahirkan penghargaan beliau terhadap Kementerian Perpaduan Negara yang komited di dalam memastikan fungsi dan objektif Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) lebih efektif dan efisien.

“MITRA di bawah penyeliaan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah binti Mohamed Sadique telahpun memulakan inisiatif memperkemaskan unit tersebut demi memastikan agenda pembangunan sosio ekonomi masyarakat India tercapai. Datuk Halimah dan saya telah berjumpa lima kali setakat ini membincangkan pelbagai usaha dan strategi bagi memperkasakan masyarakat India dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial,” kata Tan Sri SA Vigneswaran, yang juga merupakan Speaker Dewan Negara.

“Saya telah turut mencadangkan pengagihan bantuan kepada kuil dan pelajar sekolah yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan Datuk Halimah telah bersetuju dengan cadangan tersebut. MIC amat menghargai komitmen beliau,” kata Tan Sri SA Vigneswaran lagi.

MITRA merupakan unit khas bagi merancang dan melaksanakan agenda transformasi sosio ekonomi masyarakat India yang sebelum di bawah penyeliaan P. Waythamoorthy, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di dalam Kerajaan Pakatan Harapan.

Hakikatnya MITRA adalah penjenamaan semula agensi SEDIC di bawah Jabatan Perdana Menteri ketika zaman Kerajaan Barisan Nasional terdahulu, yang memikul tanggungjawab merangka dan merealisasikan agenda pembangunan masyarakat India Malaysia.

Pengurusan dan pengagihan dana di bawah MITRA sebelum ini sering mencetus kontroversi berikutan dakwaan wujudnya kepincangan operasi dan unsur kronisme di dalam kelulusan program.

“MITRA kini berfungsi dengan penuh efisien berkat Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah yang amat berdedikasi dan proaktif di dalam memastikan MITRA mencapai objektifnya. MIC akan berganding bahu bersama Datuk Halimah di dalam merealisasikan segala inisiatif MITRA memanfaatkan masyarakat,” tambah Tan Sri SA Vigneswaran lagi. – The Sentral

https://www.thesentral.my/2020/05/23/mitra-kini-lebih-efektif-di-bawah-kementerian-perpaduan-presiden-mic-rakam-penghargaan/