Mi-Voice MIC News

Tidak perlu tergesa-gesa jadikan PN entiti politik berdaftar – Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Sememangnya ketika ini kepimpinan negara masih lagi bergelut memerangi wabak Covid-19.

Isu-isu yang berkaitan politik ketika ini ditolak tepi.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan banyak lagi krisis serta politik dalaman termasuk dalam gabungan parti pemerintah masih belum mencapai kata sepakat.

Malah terdapat desas desus mengatakan ada pihak mendesak supaya disegerakan penubuhan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional sebagai satu entiti politik berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

Ketika MalaysiaGazette melontarkan persoalan adakah sudah tiba masanya untuk PN menjadi entiti politik berdaftar, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hanya tertawa kecil untuk seketika.

Sambil berikrar sokongan beliau dan partinya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh, Presiden MIC itu berkata, tidak ada keperluan menjadikan PN sebagai entiti politik berdaftar pada masa ini.

Ia juga merupakan antara permintaan Muhyiddin bagi memastikan Covid-19 serta krisis ekonomi dapat ditangani dengan lebih efisyen.

“Ada banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Banyak lagi isu yang perlu kita bincang, bercakap dan cuba selesai dengan cara paling baik. Semua itu akan makan masa sebenarnya. Bagaimana pula kita hendak tergesa-gesa tubuh PN?

“Dengan berbuat demikian, kita akan melalui implikasi politik dan undang-undang jika cuba menubuhkan PN ‘begitu sahaja’.

“Ini bukanlah soalan mudah, hubungan kita dalam PN sebenarnya tidak lebih daripada ‘Menyelamatkan Malaysia’ ketika itu, itupun kerana permasalahan yang timbul oleh kumpulan tertentu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Itulah titik persefahaman kita dengan gabungan PN ketika itu dan ketika ini. Hanya persefahamaan bagi selesai kemelut politik bukan sertai parti PN.

“BN mempunyai kerjasama politik antara UMNO, kita adalah parti gabungan berdaftar pada masa ini. Kita mempunyai perjanjian politik serta terikat antara satu sama lain, itulah kebenarannya,” katanya.

Vigneswaran yang juga Yang diPertua Dewan Negara menjelaskan, banyak lagi krisis serta isu politik menyelubungi semua parti politik, malah proses untuk menyertai PN bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, proses tersebut sangat rumit dan memerlukan pemahaman dan persetujuan khasnya ahli-ahli parti itu sendiri.

“Saya beri anda contoh, ketika ini kita lihat parti Bersatu sendiri dalam keadaan ‘tergantung’ tidak bertali malah isu dalaman parti itu masih lagi terawang-awang. Bagaimana Bersatu hendak menyertai gabungan PN jika isu dalaman mereka tidak selesai?

“Mandat daripada parti dan ahli Bersatu bagaimana pula? Ketika ini semuanya dalam parti itu dalam keadaan tidak tentu hala sahaja, hala tujunya sendiri kita tidak pasti, jangankan cakap hendak sertai PN isu dalaman serta pemilihan parti masih satu tanda tanya bukan?

“Jangan lupa, bukan sahaja Bersatu tapi parti lain-lain seperti UMNO, Pas, MIC, MCA semuanya juga perlu mendapatkan mandat parti serta ahli-ahlinya. Adakah itu satu proses yang mudah dan petik jari? Fikirlah.

“Malah jika tubuh dan sertai PN itu bermakna kita harus membubarkan komponen BN juga. Untuk semua ini, kita masih perlu dapatkan mandat parti dan ianya perlu dilakukan melalui proses EGM atau AGM yang pastinya makan masa,” ujarnya.

Vigneswaran berkata, selain isu dalaman parti-parti gabungan, persoalan khasnya pertindihan serta pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum terut menjadi isu besar.

“Ini bukan seperti menyokong dan memilih Perdana Menteri, untuk itu anda perlu mempunyai sokongan serta persetujuan ahli-ahli Parlimen sahaja tetapi ini soal parti. Lebih kompleks.

“Lagipun banyak lagi perkara, kita belum capai kata sepakat sepenuhnya. Isu berkaitan pertindihan kerusi sendiri belum dapat diselesaikan lebih-lebih lagi kini gabungan PN ini sudah jadi kerajaan.

“Apa akan jadi dengan pertindihan kerusi lagi-lagi kerusi yang sudah dimenangi sebelum ini? Sebelum sertai PN, lebih baik semua ini diselesaikan dengan baik, janganlah sampai nasi jadi bubur.

“Apa cerita kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada PRU lepas yang kemudianya wakil rakyat itu melompat ke Bersatu? Apa jadi dengan kerusi-kerusi itu? Milik siapakah? Adakah UMNO akan lepaskan kerusi-kerusi kubu kuat milik sekian lama?

“Janganlah selepas sertai PN, jika ada isu pertindihan kerusi-kerusi antara parti gabungan, hendak menangis meraung pula ketika itu. Jangan begitu taksub menyokong Muhyiddin tapi dalam kalangan UMNO sendiri ada banyak rasa tidak puas hati.

“Untuk MIC dan MCA, kita sememangnya akan berdepan dengan isu mandat dan isu kerusi, siapa bertanding di mana kerana ketika ini kita sendiri tidak pasti kedudukan tersebut.

“Dalam PN mana-mana parti boleh sertai dengan majoriti bukannya konsensus.

“Semua ini belum selesai, malah ada lagi tetapi dalam keadaan negara memerlukan fokus serta perhatian lebih utama dalam menangani Covid-19 juga krisis ekonomi, adakah persoalan untuk sertai PN itu sesuai atau perlu?,” soal beliau.

Tambah Vigneswaran, adalah lebih baik jangan keruhkan keadaan yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan atau krisis politik lebih parah.

“Jangan lupa, rakyat juga sedang memerhati ketika ini. Keperluan untuk selamatkan Malaysia dan kini mahu menubuhkan parti gabungan PN adalah dua kehendak berbeza, tidak perlulah begitu tergesa-gesa.

“Kita selesai dahulu isu lain, tidak perlu tergesa-gesa, kita fokus rakyat dulu. Tidak perlu bubar BN atau sertai PN ketika ini, lebih baik perintah negara dahulu, selesaikan apa yang penting dulu.

“Selepas Muhyiddin, kita juga tidak tahu siapa penggantinya malah siapakah Timbalan Perdana Menteri? Jika hendak beri contoh, terlalu banyak sukar untuk saya senaraikan semuanya.

“Fokus dulu Covid-19 dan krisis ekonomi,” katanya. –MalaysiaGazette

Tidak perlu tergesa-gesa jadikan PN entiti politik berdaftar – Vigneswaran

https://malaysiagazette.com/2020/05/03/tidak-perlu-tergesa-gesa-jadikan-pn-entiti-politik-berdaftar-vigneswaran/