Mi-Voice MIC News

Patuhi SOP PKPB, utamakan keselamatan dan kesihatan – Menteri Sumber Manusia saran majikan dan pekerja

PUTRAJAYA , Mei 3– Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyaran semua majikan dan pekerja agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dalam pembukaan semula operasi perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, PKPB akan dilaksanakan pada 4 Mei 2020 di mana sektor ekonomi akan dibuka secara terkawal, tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ketat. Pembukaan semula operasi perniagaan dengan kapasiti 100% kakitangan akan meningkatkan pergerakan pekerja, yang boleh meningkatkan risiko penularan COVID-19. Maka, amatlah penting bagi semua majikan dan pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata Datuk Seri M. Saravanan di dalam kenyataan rasmi beliau.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia akur tentang perlunya meneruskan semula operasi perniagaan tetapi pada masa yang sama, sektor perniagaan mesti mengutamakan keperluan pencegahan penyebaran COVID-19 terutama di kalangan pekerja.

“Dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti pandemik peringkat global ini, keselamatan dan kesihatan pekerja adalah amat penting dalam memastikan semua pekerja kekal sihat sewaktu menjalankan pekerjaan masing- masing.”

“Langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial ketika berulang-alik ke tempat kerja dan berada di tempat kerja, pemeriksaan suhu badan, penggunaan topeng muka, mencuci tangan dengan kerap dan menghindari tempat yang sesak dengan orang mesti dititikberatkan oleh majikan dan memastikan bahawa ianya dipatuhi oleh semua pekerja,” tambah Datuk Seri M. Saravanan lagi.

Kementerian juga amat menggalakkan semua majikan, terutama yang beroperasi di zon merah dan kuning COVID-19 supaya memastikan pekerja mereka menjalani saringan COVID-19. Ujian COVID-19 untuk pekerja dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang disediakan secara percuma oleh PERKESO.

“PSP PERKESO meningkatkan jaminan kepada pekerja bahawa mereka bekerja di persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat, serta bebas COVID-19. Dengan adanya kaedah pencegahan yang dipatuhi majikan dan pekerja, negara akan dapat mencegah gelombang baru jangkitan COVID-19, yang mungkin timbul dari kluster tempat kerja seperti yang dialami di negara lain.”

“Marilah kita semua bekerjasama memecahkan rangkaian jangkitan COVID-19 dan mencegah kluster baru di negara ini. Keselamatan dan kesihatan pekerja akan sentiasa menjadi keutamaan di negara ini dan kita harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan kesihatan dan ekonomi negara dapat mengatasi salah satu cabaran terbesar di abad ini,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

https://www.thesentral.my/2020/05/03/patuhi-sop-pkpb-utamakan-keselamatan-dan-kesihatan-menteri-sumber-manusia-saran-majikan-dan-pekerja/