KUALA LUMPUR, Mei 1: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini di dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja menghargai jasa dan pengorbanan warga pekerja Malaysia di dalam memastikan kelangsungan pembangunan dan kemakmuran negara tatkala dunia menghadapi cabaran dan implikasi penularan wabak Covid-19.
“Tanggal 1 Mei merupakan hari simbolik kepada kita semua sebagai pekerja walaupun di dalam keadaan semasa. Hari ini adalah hari yang penuh bersejarah dan sangat signifikan buat semua golongan pekerja di seluruh dunia. Ini mengingatkan kita tentang sumbangan para pekerja yang menjadi tonggak pembangunan, kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Sesungguhnya, tanpa pekerja yang berdedikasi serta taat setia kepada negara, kita tidak akan mampu mengecapi kemajuan dan kemakmuran yang sedang dinikmati kini,” kata Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau turut menyeru golongan majikan dan pekerja agar berubah, dalam cara bekerja, cara berfikir, cara berinteraksi dan cara bertindak seiring dengan situasi semasa, berteraskan tema Hari Pekerja untuk tahun ini iaitu “Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu”.
Datuk Seri M. Saravanan juga berpandangan bahawa Kementerian Sumber Manusia perlu membuat semakan semula ke atas perundangan perburuhan di negara ini agar ianya bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan masa kini. Pendekatan ini akan memastikan undang-undang perburuhan relevan dengan persekitaran semasa dalam memberi jaminan hak kebajikan dan keselamatan pekerja dilindungi dalam menghadapi budaya norma baharu.
“Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja kita, dan telah melaksanakan beberapa inisiatif telah diperkenalkan demi mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara merangkumi golongan pekerja. Antara inisiatif menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan Pakej PRIHATIN Tambahan adalah pelaksanaan Program Pengekalan Pekerjaan atau “Employment Retentation Program” (ERP) serta Program Subsidi Upah atau “Wage Subsidy” oleh PERKESO. Kedua-dua inisiatif ini dijangka dapat mengekalkan sejumlah 8 perpuluhan 1 juta orang pekerja tempatan dalam pekerjaan.” tambah beliau lagi.
“KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja juga akan memainkan peranan yang amat signifikan dalam aspek perancangan penempatan semula pekerjaan atau “redeployment. Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menggalas tanggungjawab dalam memastikan dana-dana latihan yang digunakan akan menjurus kepada jaminan pekerjaan.”
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga pekerja di Malaysia dalam membantu Kerajaan menjayakan pelbagai dasar dan program pembangunan demi kepentingan rakyat dan negara tercinta,” kata Datuk Seri M. Saravanan.
Add Comment