Mi-Voice MIC News

Kajian terperinci bagi menyantuni semua golongan pekerja terjejas akibat Covid-19 – Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR, Mac 21: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalankan kajian terperinci terhadap nasib dan keperluan semua golongan pekerja yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan kemukakan cadangan bantuan serta langkah pemulihan bagi petimbangan Perdana Menteri dan Kabinet.

“Kementerian Sumber Manusia sentiasa prihatin terhadap rintihan dan keperluan para pekerja. Dalam situasi negara menghadapi risiko wabak Covid-19 ini, saya meminta para pekerja bersabar dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Ini penting bagi memastikan proses pemulihan dan membendung wabak Covid-19,” kata Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia.

“KSM melalui program “Employment Retention Program (ERP)” akan dapat membantu para pekerja yang berdaftar untuk menampung perbelanjaan harian. Namun, terdapat ramai lagi golongan pekerja di luar skop ERP yang terjejas, seperti pemandu kenderaan e-hailing dan teksi, penjaja, pembantu gerai, operator dan pembantu ‘food trucks’, peniaga wanita, pekerja sambilan dan sebagainya yang perlu diberi perhatian dan bantuan.”

“Maka, saya telah mengarahkan pegawai kementerian bagi mengumpul data dan menjalankan kajian terperinci berkenaan statistik dan keperluan golongan yang terkesan ini. Saya akan mengemukakan cadangan bagaimana kumpulan ini dapat disantuni kepada Perdana Menteri dan kabinet,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

https://www.thesentral.my/2020/03/21/kajian-terperinci-bagi-menyantuni-semua-golongan-pekerja-terjejas-akibat-covid-19-datuk-seri-m-saravanan/