Mi-Voice MIC News MIC Youth

Bersedialah membantu masyarakat pada saat genting ini, Thinalan arah jentera pemuda MIC

KUALA LUMPUR, Mac 20: Ketua Pemuda MIC, Thinalan Rajagopalu hari ini telah mengarahkan jentera pemuda MIC di seluruh negara bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan akibat penularan wabak Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini masuk hari ketiga perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia demi membendung penyebaran wabak Covid-19. Pada ketika negara sedang mengharungi tempoh kritikal ini, saya telah mengarahkan jentera Pemuda MIC seluruh negara bagi sentiasa bersiap sedia untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan apa jua jenis bantuan, merentasi batasan kaum dan politik,” kata Thinalan melalui suatu kenyataan di laman Facebook beliau.

“Warga emas, golongan kurang upaya, pelajar IPT yang terkandas, keluarga miskin tegar dan banyak lagi yang memerlukan bantuan asas sepanjang tempoh PKP. Pemuda MIC perlu menjalin jaringan bersama kumpulan tersebut dengan pihak berkuasa, agensi-agensi kerajaan, Ahli Parlimen, ADUN dan sebagainya bagi memastikan keperluan asas mereka disantuni segera,” tambah Thinalan lagi.

Thinalan turut menyaran agar kesemua tindakan dan bantuan Pemuda MIC perlu dilaksanakan dengan kebenaran pihak berkuasa, berlandaskan syarat-syarat PKP.

“Sama-samalah kita memastikan Malaysia dan rakyatnya selamat dari wabak Covid-19,” Thinalan zahirkan harapan di dalam kenyataan beliau.

https://www.thesentral.my/2020/03/20/bersedialah-membantu-masyarakat-pada-saat-genting-ini-thinalan-saran-jentera-pemuda-mic/