Mi-Voice MIC News

Pekerja swasta cuti tanpa gaji terima RM600, 6.9 juta dilindungi – Saravanan

PUTRAJAYA: Seramai 6.9 juta pekerja swasta dilindungi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO jika mereka kehilangan pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, antara manfaat SIP adalah bantuan kewangan segera dan program penempatan pekerjaan serta latihan.

“Pekerja yang kehilangan pekerjaan dan berdaftar serta mencarum di bawah SIP PERKESO layak menerima faedah-faedah SIP seperti elaun mencari pekerjaan, elaun bekerja semula awal dan elaun pendapatan berkurangan.

“Selain itu, mereka juga layak menerima elaun latihan dengan kadar RM30 sehari, fi latihan yang terhad kepada RM6,000 selain program penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya,” kata beliau menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Saravanan turut berkata, PERKESO akan melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang antara lain membolehkan pekerja swasta yang diberi notis cuti tanpa gaji sejak 1 Mac lalu menerima bantuan RM600 sebulan.

“ERP ini akan memberi bantuan kewangan sementara sebanyak RM600 sebulan pada kadar rata untuk tempoh maksimum enam bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang memenuhi beberapa syarat kelayakan,” katanya.Antara syarat yang ditetapkan termasuk pekerja yang diberi notis cuti tanpa gaji oleh majikan berkuatkuasa  1 Mac lalu; pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dalam SIP PERKESO dan pekerja yang bergaji kurang RM4,000.

Katanya, syarat lain antaranya majikan perlu membuat permohonan bagi pihak pekerja dan menyalurkan RM600 terus ke dalam akaun pekerja.

Saravanan berkata tuntutan di bawah Faedah SIP ataupun bantuan ERP boleh dibuat di mana-mana Pejabat PERKESO yang terdekat di seluruh negara atau melalui permohonan dalam talian di laman web PERKESO.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa hari ini, Saravanan turut memberi jaminan kementerian itu akan membantu dan bersedia dengan semua perkhidmatan di bawah SIP sepanjang tempoh kawalan itu.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pekerja-swasta-cuti-tanpa-gaji-terima-rm600-6-9-juta-dilindungi-saravanan-234184