Mi-Voice MIC News MIC Women

Duduk di rumah, akur perintah kerajaan – Wanita MIC

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19 daripada terus menular mungkin tidak begitu difahami oleh umum.

Sebaliknya perintah itu juga telah menyebabkan rata-rata rakyat di negara ini panik sehingga tidak dapat dikawal seperti membeli barangan dalam kuantiti banyak sehingga kehabisan stok.

Ada juga cubaan untuk pulang ke kampung di mana mungkin berlakunya penyebaran wabak Covid-19 lagi-lagi dalam kalangan warga emas yang lebih berisiko tinggi berbanding lain-lain.

Tidak cukup dengan itu, ramai juga menyerbu tempat-tempat seperti stesen bas atau balai polis dengan jumlah banyak bagi mendapatkan kebenaran pulang ke negeri masing-masing walhal dengan berkumpul beramai-ramai bermakna penularan mungkin berlaku dengan senang.

Kebimbangan itu dikongsi oleh Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nanthini Jayaram kepada MalaysiaGazette sebentar tadi berhubung betapa seriusnya wabak ini dan masyarakat tidak sepatutnya mengabaikan aspek-aspek tertentu dalam menangani Covid-19.

“Sepatutnya ianya seperti ‘kita jaga kita’ satu tanda pagar yang sedang trending ketika ini dalam menangani Covid-19, bukan sahaja pihak berkuasa sebaliknya ianya juga tanggungjawab sivik kita untuk sekurang-kurangnnya melakukan apa yang betul.

“Sememangnya umum sangat bimbang dengan apa yang sedang berlaku ketika ini apatah lagi jika ianya belum ada lagi vaksin bagi mengubati penyakit ini. Namun pada masa sama, dengan nasihat, tips serta arahan-arahan yang diberikan kerajaan, lebih baik di ikuti.

“Seperti apa yang terjadi beberapa hari lepas, pengguna panik sehingga membeli barangan makanan dengan berlebihan. Tidakkah pembelian ini satu pembaziran kerana makanan juga ada tarikh luput.

“Apa yang lebih sukar apabila peniaga perlu menambah bekalan dalam masa yang singkat, sekali gus menyukarkan mereka yang benar-benar memerlukannya? Rasanya ini tidak perlu dan kita perlu fikir untuk orang lain juga.

“Juga janganlah sebarkan sesuatu tanpa periksa latarbelakangnya terlebih dahulu, bayangkan rasa bimbang, panik yang terpaksa dilalui oleh seseorang itu, apakah kita akan berdiam dan melakukan sedemikian kepada keluarga kita sendiri, fikirkanlah,” katanya.

Kata Usha lagi, perintah kawalan pergerakan juga telah memberikan kefahaman jelas supaya rakyat duduk sahaja di rumah dan hanya keluar seandainya ada keperluan.

“Orang ramai boleh mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dengan orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan Covid-19. Tidak perlu bergerak ke mana-mana sebaliknya boleh menggunakan teknologi sedia ada dari rumah.

“Ini adalah masa paling sesuai untuk kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira latarbelakang, bangsa, kefahaman tetapi sebagai induvidu bertanggungjawab dan mengambil berat tentang apa yang sedang melanda negara ketika ini bersama-sama.

“Tolonglah, sama-sama kita bantu bendung Covid-19 ini, sebenarnya kita boleh hanya dengan mematuhi segala arahan diberikan dengan baik sekali dengan semangat serta sivik yang tinggi,” ujarnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/03/18/duduk-di-rumah-akur-perintah-kerajaan-wanita-mic/