Mi-Voice MIC News

Covid-19: Nasib pekerja tidak akan terabai, jamin Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, Mac 18: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata kerajaan prihatin dan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja sentiasa terpelihara tatkala negara menghadapi risiko wabak Covid-19.

“Kerajaan telah menjalankan kajian terperinci terhadap impak ekonomi yang dibawa oleh penularan wabak Covid-19.”

“Bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap bulan selama 6 bulan kepada golongan pekerja bergaji tidak melebihi RM4,000 yang mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak COVID-19 adalah di antara langkah yang saya percaya dapat meringankan bebanan golongan pekerja, dijangka lebih kurang 33,000 orang” kata Saravanan, di dalam temuramah bersama saluran radio Minnal FM yang disiarkan secara langsung malam semalam.

“Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, kerajaan negara tersebut bersama pihak majikan sedang mengusahakan penginapan sementara kepada mereka bagi meminimumkan impak ekonomi negara tersebut. Kami sedang memantau usaha tersebut dan akan memanjangkan kerjasama yang sewajarnya,” tambah beliau lagi

Saravanan turut menyaran rakyat agar mempraktikkan amalan-amalan kebersihan dan tidak leka sama sekali.

Beliau memohon kerjasama semua rakyat Malaysia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan penyebaran wabak Covid-19 yang diambil oleh Kerajaan, khasnya Perintah Kawalan Pergerakan mencapai matlamatnya. – The Sentral

https://www.thesentral.my/2020/03/18/covid-19-nasib-pekerja-tidak-akan-terabai-jamin-menteri-sumber-manusia/