MIC News MIC Youth

Pusingan-U dan Pemungkiran Janji PH, makin parah dan tiada penghujungnya!

Kenyataan Akhbar Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan

Kerajaan Malaysia Baru Pakatan Harapan makin hebat dan makin berani di dalam membuat pusingan-u dan pencapatian janji mereka kepada rakyat.

Sandiwara terbaru, Program Sarapan Percuma (PSP) yang baru lima bulan lepas diumumkan oleh mantan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, di mana ianya dikatakan akan memberi manfaat kepada 2.7 juta pelajar sekolah rendah bermula sesi persekolahan 2020.

Sebelum bermulanya sesi persekolahan, Maszlee membuat kejutan pertama dengan menyatakan PSP akan dilaksanakan di hanya 100 buah sekolah pada fasa pertama.

Dan terbaru, satu lagi pusingan-U di dalam perlaksanaan PSP apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan mengumumkan hanya pelajar kategori B40 akan menerima bantuan PSP, bukannya keseluruhan pelajar seperti yang dihebahkan sebelum ini.

Betapa banyaknya pusingan-U dan impak di dalam perlaksanaan hanya satu program Kerajaan PH di dalam tempoh lima bulan sejak pengumuman awalnya! Apakah komunikasi di kalangan anggota kerajaan begitu rapuh dan berkusut? Tiada perancangan strategi dan kajian impak sebelum sesebuah dasar itu diumumkan? Tatkala golongan ibu bapa berasa lega bebanan ekonomi keluarga mereka akan kurang serba sedikit melalui PSP, pengumuman Tun Dr Mahathir menghancurkan harapan tersebut sama sekali, sekali lagi!

Suara pembangkang adalah luahan hati rakyat Malaysia! Wahai Kerajaan PH, cukuplah terus mengkhianati harapan rakyat Malaysia. Bukan sahaja golongan B40, malah masyarakat M40 juga makin terasa tekanan dan kekangan kewangan akibat kepicangan pentadbiran anda! Laksanakanlah mekanisme PSP seperti perancangan awal, janganlah terus menaburkan janji dan harapan palsu!