Mi-Voice MIC News

MIC tidak mahu kena tipu dan dibuli lagi

SEJAK menyertai Parti Perikatan pada 1954 dan Barisan Nasional (BN) pada 1973, MIC sentiasa mempunyai wakil yang dilantik sebagai menteri setiap kali BN berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Namun, perkara itu berubah apabila buat pertama kali dalam sejarah, MIC tidak memegang sebarang jawatan menteri atau mana-mana jawatan kerajaan walaupun BN berjaya membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Sedangkan jawatan menteri telah pun dijanjikan kepada parti itu sebelum penubuhan kerajaan hari ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MIC TIADA PERANAN

MINGGUAN MALAYSIA: Apa peranan MIC dalam kerajaan hari ini?

M. SARAVANAN: Kami lihat secara jujur MIC tidak ada peranan. Saya tidak lihat kerajaan yang ada hari ini memberi keutamaan kepada MIC. Walaupun mereka sedar MIC adalah parti yang besar khususnya parti yang membela masyarakat India.

Saya sendiri sebagai wakil rakyat, jika banding dengan wakil rakyat sedia ada, bukanlah hendak angkat bakul sendiri tetapi saya berpendapat saya antara yang senior, sudah hampir 25 tahun dalam Parlimen.

Dua penggal di Dewan Negara, empat penggal di Dewan Rakyat, dua penggal Timbalan Menteri. Pernah jadi menteri dan berkhidmat di bawah tujuh Perdana Menteri tetapi saya tidak lihat mereka hendak menggunakan kepakaran saya.

Apabila kita lihat tidak ada ruang untuk berkhidmat melalui Kabinet, tidak lihat ada ruang untuk berkhidmat melalui agensi lain, maka saya tidak nampak kerajaan yang ada hari ini memerlukan ataupun menghormati peranan kami.

Apabila orang tidak mahu hormat kita. Kita perlu meneliti dan cari tempat di mana kita dapat penghormatan sewajarnya. Saya jujur kali ini, sebab saya got nothing to lose.

MIC KUAT KETIKA ZAMAN TUN MAHATHIR

Kebajikan MIC terbela di zaman pentadbiran siapa?
Sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, UMNO dulu adalah parti yang terkuat di Malaysia. Melayu bersatu dan tidak berpecah belah. Maka kepimpinan Mahathir 100 peratus bergantung kepada undi Melayu dan Melayu bersatu dan Mahathir tidak perlukan India atau Cina. Kita tidak sokong pun Mahathir boleh menang atas kekuatan UMNO.

Tetapi dia tidak menghalang mana-mana kaum lain daripada berjaya. Zaman Mahathir, India yang terkaya ialah Tan Sri Ananda Krishnan berjaya dengan Astro, dia buat semasa itu dia tidak perlukan masyarakat India.

Zaman Mahathir dia masih bagi duit walaupun tidak besar macam Najib. Dia masih bagi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Tamil. Dia bagi kewangan untuk rumah ibadat.

Tidak ada mana-mana rumah ibadat yang dirobohkan sewaktu zaman Mahathir. Dia tidak tutup mana-mana sekolah Tamil walaupun dia tidak perlukan sokongan orang India.

Zaman Najib lain, dia memang perlukan undi India, jauh berbeza. Masyarakat India mungkin tidak sedar peranan Tun Mahathir, dia ialah Perdana Menteri yang membantu orang India dalam keadaan dia tidak memerlukan pun. Jadi, ia jauh berbeza dengan Perdana Menteri lain.

Kini MIC mencari platform yang lebih stabil?

Kita sekarang dalam usaha berbincang dengan ahli-ahli MIC di peringkat akar umbi. Baru-baru ini, kita menyelesaikan mesyuarat di peringkat bahagian. Ada juga sebahagian besar daripada ahli-ahli MIC di peringkat bahagian yang tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan. Tapi kita masih ada mesyuarat di peringkat negeri dan pusat. Setakat saat ini, kita menyokong Kerajaan Madani dan Perdana Menteri.

MAHU SERTAI PN?

Adakah MIC pertimbang sertai Perikatan Nasional (PN)?

Buat masa ini, saya tidak berani cakap ya atau tidak. Bila kita lihat, seseorang itu tidak perlukan kita, takkan kita perlu teruskan?

Setakat ini, kita dilihat seperti parti yang tidak diinginkan untuk Kerajaan Perpaduan.

Bukan mahu tidak mahu, tetapi memang tidak mahu sebab kita dilihat tidak ada peranan. Kita adalah parti yang paling berpengalaman dan satu-satunya parti India yang berstruktur.

Apabila kita lihat tidak ada peranan di Kabinet, tidak ada peranan di GLC (syarikat berkaitan kerajaan), tidak ada peranan di peringkat apapun, jadi seolah-olah mereka tidak perlukan kita. Maka, dalam masa terdekat, MIC akan buat keputusan.

Bila keputusannya?

Selepas tamat mesyuarat ini di peringkat negeri dan pusat, kita perlu buat sesuatu keputusan. Peringkat bahagian sudah selesai, selepas ini peringkat negeri pada Ogos dan September dan kemudian Oktober di peringkat pusat.

Hari ini, kita secara jujur, kita amat dukacita. Walaupun MIC bukan berada dalam Kabinet, kita masih sokong kerajaan sebab BN berada di peringkat Kabinet.Kita tidak anggap wakil-wakil yang duduk di Kabinet ini mewakili UMNO. Kita anggap mereka mewakili BN yang memberi kepentingan kepada Melayu, India dan Cina. Tetapi apabila ada isu-isu rumah ibadat, matrikulasi, baru-baru ini, kes Zamri Vinoth dan sebagainya, saya tidak lihat wakil kami berada di sana seperti ada suara untuk membela nasib kami.

Mungkin kita salah faham, kita selama ini fikir yang duduk sana adalah wakil BN yang akan memberi kepentingan kepada isu-isu yang melibatkan masyarakat India.

Tapi saya lihat tidak ada seorang pun yang bersuara untuk masyarakat India, isu-isu berkaitan masyarakat India.

Kalau dulu, setiap Rabu ada pengumuman daripada Presiden MIC, Tun Dr. S Samy Vellu, mengenai isu-isu melibatkan masyarakat India.

TIDAK SALAHKAN MENTERI

Maksudnya adakah kerajaan dan BN tidak membela nasib masyarakat India?

Saya tidak salahkan menteri yang ada sekarang sebab dia bukan wakil masyarakat India. Dia daripada parti berbilang kaum. Dia tidak boleh fokus pasal masyarakat India.

Ini salah satu sebab kenapa kerajaan hari ini kehilangan sokongan daripada masyarakat India sebab masyarakat India tidak mempunyai sense of belonging dengan kerajaan sedia ada.

Seolah-olah mereka tidak ada wakil India. Dia ada menteri India, tetapi menteri India dengan menteri mewakili masyarakat India jauh berbeza.

Menteri mewakili masyarakat India betul-betul daripada kaum India. Menteri India boleh daripada parti-parti lain, dia tidak boleh hanya menjuarakan masyarakat India sahaja.

Adakah ada akar umbi minta MIC keluar daripada BN?

Belum lagi. Terlalu awal saya hendak sebut. MIC pernah ditipu beberapa kali.

Yang pertama, apabila kita buat keputusan untuk menyokong PN, MIC diminta tarik sokongan daripada PN dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan. Kami diberitahu oleh Pengerusi BN bahawa Perdana Menteri telah bersetuju wakil MIC dalam jemaah menteri. Tetapi kami ditipu. Ada persetujuan ketika itu.

Tetapi apabila ada pengumuman, kami kena tipu bulat-bulat. Perkara ini berlaku sebelum penubuhan Kabinet. Kalau tidak, buat apa saya gugurkan sokongan saya daripada PN? Dan kalau saya tidak gugurkan sokongan saya juga, maka istilah en bloc BN sokong tidak akan wujud.

Tetapi kita masih menerima dan menyokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara. Dalam hal ini, MIC tidak pentingkan diri walaupun kami ditipu. Tetapi, MIC telah membawa perkara ini kepada Perdana Menteri sendiri.

Apa respons Perdana Menteri?

Beliau berjanji akan membuat sesuatu. Sudah tiga tahun, kita tidak nampak dia akan buat apa-apa. Sehingga Presiden MIC pun kata kita tidak perlu lagi jawatan menteri. Sudah terlambat, dan apabila Presiden mengumumkan kita tidak perlukan jawatan, maka itulah pendirian parti.

Takkan kita hendak tunggu lagi dua tahun? Akhirnya, kena game sekali lagi. Kerajaan yang ada hari ini pun tidak memberi kepentingan kepada kita. Kita pun jadi seperti unwanted guest.

Kenapa benar-benar inginkan jawatan?

Sebab sudah tiga tahun kita tidak lihat keikhlasan. Takkanlah kita tidak layak untuk menjadi ahli lembaga mana-mana? Bukan kita mementingkan jawatan, tetapi ia sebagai satu penghormatan, satu penerimaan terutamanya untuk sokongan kepada kerajaan.

Keadaan sama juga berlaku kepada MCA. Ada bincangkan bersama dengan Presidennya mengenai perkara ini?

Ini boleh dirujuk dengan Presiden MCA. Tetapi setakat ini, kita akan dengar pendapat daripada wakil-wakil dari MIC terlebih dahulu. Kalau mereka suruh kita kekal dalam BN, kita akan teruskan.

Kalau mereka ada pendapat berbeza, kita akan meneliti dan memperhalusi. Mungkin mereka tidak perlukan kita atas sebab-sebab tertentu.

Komen mengenai kerjasama BN dan PH mungkin diteruskan sehingga PRU-16?

Kalau keputusan BN, kena bincang di peringkat BN. Jangan lupa BN ini konsensus. Saya minta pemimpin BN jangan salahkan kita apabila parti-parti komponen tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat tanpa perbincangan.

Kita sokong Kerajaan Madani atas titah Tuanku. Kalau kita hendak meneruskan kerjasama penggal yang akan datang, ia harus dibincang di peringkat BN. Kalau esok apabila salah sebuah parti tidak bersetuju, kita tidak boleh bekerjasama. Akhirnya, UMNO terpaksa pergi solo tanpa BN.

BERTANDING SOLO
MIC ada kekuatan untuk bertanding sendiri?

Terlalu awal untuk saya katakan, tetapi kita sedang mengintai dan meneliti beberapa kawasan Parlimen, dalam masa sama menilai kekuatan kami.

Tetapi saya yakin, kalau kita lihat daripada kedudukan hari ini, landskap politik negara berubah. Tidak ada mana-mana parti yang boleh menang secara solo dan lebih 40 kawasan Parlimen yang menang kerana undi masyarakat India. Itu amat penting.

Bayangkan, di Parlimen Bagan Datuk, majoriti hanya 300 lebih undi sahaja. Ahli MIC di kawasan itu ada 2,000 orang. Di Tambun pula ahli MIC ada 1,200 orang. Beberapa kawasan ini kita menang tipis, Jadi, tidak ada mana-mana parti yang boleh memberi jaminan yang mereka akan menang kerana kekuatan mereka sendiri.

Sasaran MIC pada PRU-16?
Kita bukan orang ambitious. Kita sebelum ini bertanding di sembilan kawasan, maka kita akan fokus di kawasan itu. Kita bukan tamak dan kita juga faham perubahan politik negara. Kita sanggup kompromi, tetapi jangan pula kami dibuli ataupun dianak tirikan sebab dari dulu sehingga kini keikhlasan kita sama sahaja.

Walaupun kita bertanding di sembilan Parlimen, tetapi jentera kita masih bekerja seperti lebih daripada 120 Parlimen. Bukan seperti parti lain yang hanya menumpukan di kawasan yang mereka tandingi sahaja.

TITAH ADENDUM
Komen mengenai titah adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak?
Saya kurang senang dengan apa yang telah berlaku. Sebab adendum itu dikeluarkan semasa Sultan Pahang menjadi Yang di-Pertuan Agong. Sama ada melaksanakan atau tidak, itu isu perundangan. Tetapi sepatutnya kerajaan perlu mengumumkan sama ada adendum itu ada atau tidak. Bukan selepas 500 lebih hari.

Yang kedua, BN dengan PKR dulu adalah musuh. Kita memang bukan musuh sebab landskap politik, tetapi dari sikit ideologi. PKR telah menang sebab dia kata BN ini perompak. Perompak dengan bukan perompak akhirnya menubuhkan kerajaan dengan alasan titah Tuanku.

Tuanku cadangkan sahaja demi kestabilan negara, tubuhkanlah Kerajaan Perpaduan, bukan bagi arahan. Tanpa fikir dua kali, tanpa berbincang dengan komponen dalam BN, lajunya UMNO pergi tubuhkan kerajaan dengan alasan titah Tuanku.

Dulu sewaktu keadaan tidak memihak kepada UMNO dan saya menjadi menteri, saya sentiasa dengar ayat mahu tarik handbrake, sekarang sudah ada adendum depan mata kita. Kalau betul mereka sayang kepada Bosku, gunakanlah ayat mahu tarik handbrake.

Apa ingin disampaikan sebenarnya?
Sepatutnya UMNO perlu memberi tekanan kepada pucuk pimpinan sama ada kita melaksanakan titah adendum itu atau tarik handbrake.

Saya bercakap seperti ini kerana mereka perlu ada pendirian kukuh kalau betul mahu mengenang jasa Bossku.

Tetapi yang paling penting, kalau ada titah adendum dikeluarkan oleh Tuanku dalam keadaan beliau sebagai Yang di-Pertuan Agong dan diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AG), siapa suruh diamkan dan siapa sorokkan? Dua ayat ini penting masyarakat Malaysia kena tanya sebab hari ini bukan lagi isu titah adendum.

Kalau saya Presiden UMNO, saya sudah keluarkan lencana dengan slogan ‘siapa suruh, siapa sorok’. – MINGGUAN MALAYSIA

https://www.utusan.com.my/rencana/2025/07/mic-tidak-mahu-kena-tipu-dan-dibuli-lagi/