Kuala Lumpur, 10 Oktober 2025 — Tan Sri S.A. Vigneswaran, Presiden MIC, merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memastikan Bajet 2026 disusun dengan seimbang, berdisiplin dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peningkatan ketara bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini mencecah lebih RM1 bilion berbanding RM600 juta pada tahun 2022. Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isi rumah berpendapatan rendah serta usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Tan Sri Vigneswaran turut menzahirkan penghargaan terhadap tumpuan kerajaan kepada komuniti India, termasuk peningkatan jaminan pinjaman perumahan (SJKP) kepada RM1.9 bilion serta peruntukan RM220 juta di bawah MITRA, TEKUN dan AIM untuk memperkasakan sosioekonomi masyarakat India. Langkah-langkah ini diyakini akan terus memperkukuh semangat keusahawanan dan membina daya tahan ekonomi komuniti tersebut.
Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan memperkukuh sektor pendidikan dan pembangunan kemahiran melalui pelaksanaan Program Antibuli Sekolah (SAFE) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.9 bilion termasuk latihan AI dan semikonduktor untuk pelajar serta belia, dan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026 bagi membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berdaya saing.
Selain itu, Tan Sri Vigneswaran turut memuji usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem PMKS serta memperluas kemudahan pembiayaan kepada usahawan tempatan dengan jumlah keseluruhan pinjaman dan jaminan kerajaan yang meningkat kepada RM50 bilion pada tahun hadapan.
Beliau menegaskan bahawa MIC akan terus komited dalam memastikan agenda pembangunan inklusif dan kemakmuran bersama dapat direalisasikan, sejajar dengan aspirasi Pelan Malaysia Ke-13 ke arah negara yang maju, sejahtera dan mampan.






