Umno diingatkan supaya tidak bertindak seolah-olah parti tunggal daripada gabungan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Strategik MIC Kebangsaan, R Thinalan berkata kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengenai keperluan mengekalkan tujuh menteri Umno dalam kabinet susulan penghijrahan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengecewakan akar umbi MIC.
“Kenapa Umno perlu mempunyai tujuh menteri dalam kabinet. Kenapa tidak dari MCA atau MIC. Apakah Umno wakil tunggal BN dalam kerajaan.
“Jika semuanya pasal Umno sahaja, maka apa maksud BN dalam kerajaan hari ini.
“Saya nak tegas di sini, Umno bukan komponen tunggal dalam BN. Dan kementerian disandang Zafrul bukan milik Umno tapi BN. Sebarang, pelantikan dalam kabinet juga perlu dibincang bersama parti komponen BN yang lain,” katanya kepada Malaysiakini.
Thinalan mengulas kenyataan Zahid semalam yang menyatakan harapan agar kuota tujuh menteri penuh BN dikembalikan kepada Umno selepas Zafrul meninggalkan parti itu.
Timbalan perdana menteri itu berkata sebelum ini Umno mempunyai tujuh menteri, tetapi kini tinggal enam selepas Zafrul keluar parti.
“Bagi saya yang lebih penting ialah Umno diwakili tujuh orang menteri dalam kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti Umno atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada Umno.
“Jika begitu, sekarang Umno tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar Umno maka layaklah Umno memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Thinalan menegaskan Umno tidak wajar secara sepihak meminta perdana menteri agar tujuh kuota menteri dikekalkan kepada parti itu.
“Beliau sendiri mengesahkan bahawa tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti Umno atau sebaliknya. Ini bermaksud kemungkinan Umno tidak menyerahkan nama Zafrul kepada perdana menteri. Beliau (Zafrul) dilantik atas hak prerogatif perdana menteri sendiri.
“Maka, sebarang penggantian (kementerian) perlu dirujuk kepada BN terlebih dahulu. Bukannya, hak milik Umno sahaja.
“Pasal apa tak boleh beri kepada MCA, ‘parti kedua besar dalam BN’. Apakah tujuan BN jikalau semuanya hanya untuk Umno sahaja.
“Secara fakta semua lantikan baiknya GLC atau dalam kerajaan hanya daripada Umno dan bukan dari parti lain dalam BN,” katanya.
Semalam, Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli parti. Dalam masa sama, dia menyuarakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.
Untuk rekod, BN menang 30 kerusi parlimen pada PRU15 — 26 daripada Umno, dua MCA, serta masing-masing satu dari MIC dan PBRS.
Ketika ini, Umno mempunyai tujuh menteri penuh dan enam timbalan menteri dalam kerajaan, manakala PBRS memiliki seorang timbalan menteri.
MCA dan MIC tiada wakil dalam kabinet.