Mi-Voice MIC News

Saravanan: Orang Islam marah sebab tak dapat gambaran betul

Umat Islam menganggap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India di Kuala Lumpur sebagai ‘kuil haram’ kerana tidak mendapat maklumat yang tepat, kata Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

Jelasnya, kuil berkenaan telah wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan tidak dipernah dipindahkan sejak kewujudannya di situ.

Bagaimanapun kata Saravanan, dia tidak menyalahkan umat Islam jika marah kerana mereka tidak mendapat maklumat yang betul mengenai status tanah berkenaan.

“Kalau saya berada di tempat mereka (orang Islam) pun saya juga akan marah, sebab mereka tak dapat gambaran betul (mengenai kewujudan kuil berkenaan).

“Rumah ibadat ini dah lebih 100 tahun, ia tak pernah dirobohkan.

“Pada 2006 ada kerja nak lebarkan jalan, lalu kuil ini diminta robohkan bahagian dapur dan bahagian tempat tinggal sami bagi membolehkan kerja tersebut dijalankan,” katanya semasa sidang media di pekarangan kuil berkenaan hari ini.

Semalam, dalam kenyataan yang diterbitkan di laman berita Tamil Nambikai, Saravanan berkata terdapat, dakwaan tidak benar bahawa tanah itu dijual ketika dia menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2008 hingga 2013.

Menurut Saravanan, ketika kuil itu berkemungkinan akan dirobohkan pada 2006, MIC telah bertindak untuk melindunginya.

Kemudian, katanya lagi, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta agar kuil itu dipindahkan ke lokasi berdekatan, ia telah dibina semula dan dirasmikan pada 2008 dengan sokongan daripada presiden MIC ketika itu, S Samy Vellu.

Kata Saravanan lagi, tanah yang menempatkan kuil itu hanya dijual kemudian.

Sementara itu, Saravanan berkata isu berkenaan perlu diselesaikan secara harmoni dan “menang-menang” seperti yang disarankan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Tapah itu lagi, dia turut merakamkan penghargaan kepada Anwar dan kerajaan yang memberi jaminan bahawa kuil terbabit tidak akan dirobohkan.

Selain itu Saravanan turut mengesahkan wujud perbincangan di antara pihak pemilik tanah berkenaan, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading) dengan pihak pengurusan kuil.

“Betul, mereka (Jakel Trading) ada berusaha selesaikan, penyelesaian harus jadi menang-menang, penyelesaiannya (kuil) harus (berada) di kawasan ini.

“Sekarang kerajaan sudah buat (perundingan)…(kita) serah kepada kerajaan,” kata Saravanan lagi.

https://m.malaysiakini.com/news/738081?sfnsn=wa