KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya ditafsirkan sebagai menjejaskan perpaduan sedia terjalin dalam kerajan Madani hari ini mahupun apa sahaja ‘naratif’ yang cuba disampaikan segelintir pihak.
Sebaliknya kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu, solidariti ini adalah sokongan kepada seorang pemimpin yang satu ketika dahulu pernah mengemudi Barisan Nasional (BN) dalam menerajui negara ini sekian lama.
“Najib telah lama berkhidmat untuk negara ini dan sangat berjasa. Malah, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, banyak sumbangan yang beliau berikan untuk pembangunan negara. Kami menghargai jasa beliau terutama semasa mengetuai Barisan Nasional (BN).
“Beliau juga tidak seperti pemimpin di negara jiran yang melarikan diri ke negara lain sebelum mendapatkan pengampunan sebaliknya Najib terus utuh dan komited dalam menghadapi cabaran perundangan, berjuang untuk hak dan keadilan dirinya.
“Najib kekal komited dalam berjuang di tanah air sendiri. Beliau percaya kepada sistem kehakiman, walaupun perbicaraan dijalankan dengan begitu pantas namun sentiasa percaya satu hari nanti namanya akan bersih melalui sistem perundangan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Vigneswaran, sepatutnya solidariti ini sangat jelas dan tidak sepatutnya diperumitkan oleh mana-mana pihak sebaliknya hormat kepada proses yang sedang berjalan dengan aman pada masa ini.
“Menunjukkan solidariti terhadap pemimpin terdahulu tidak salah. Tiada seorang pun daripada kami di BN menentang kerajaan. Keputusan pengampunan bukanlah keputusan kerajaan, tetapi prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah titah baginda, dan kita semua perlu akur dan menghormati keputusan tersebut.
“Saya sendiri ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menunjukkan sebarang tentangan dalam isu Najib mahu mendapatkan pengampunan sebaliknya beliau telah membiarkan pihak berwajib mengendalikan perkara ini.
“Lagipun, keputusan ini bukanlah ditentukan oleh kerajaan, tetapi adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong terdahulu. Tidak ada yang melanggar undang-undang atau mencabar keharmonian Kerajaan Perpaduan,” jelas beliau.
Vigneswaran juga mengingatkan bahawa solidariti ini bukanlah protes, sebaliknya penghormatan kepada seorang pemimpin yang pernah banyak berjasa kepada negara.
“Kes ini sedang berada di mahkamah. Tidak wujud soal kita menentang atau ingin menjatuhkan kerajaan. Segelintir pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) sepatutnya berhenti membuat kenyataan yang boleh memecah-belahkan. Jangan buka ‘kotak Pandora’ dengan tuduhan saling menuding, ini tidak betul.
“Ingat ya, pendirian MIC tetap sama. Kita akan terus menyokong kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri sehingga tamat penggal, tidak ada apa-apa perubahan dan tentangan. Ini adalah perhimpunan solidariti buat bekas pemimpin BN yang banyak berjasa bukan sahaja kepada parti sebaliknya rakyat dan negara. Ini bukan protes,” ujarnya. -MalaysiaGazette