Mi-Voice MIC News

MIC tidak setuju formula parti menang kekalkan kerusi

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC tidak bersetuju dengan formula supaya parti yang menang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) untuk mengekalkan kerusi tersebut pada PRU akan datang.

Justeru itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menggesa pemimpin BN supaya tidak berpegang kepada formula tersebut ketika memilih calon bagi PRU16 kelak.

“Jika kami mengikut formula ini sebelum ini, kami tidak akan menyerahkan (kerusi parlimen) Cameron Highlands kepada Umno,” katanya semasa dalam ucapan sambutan Jubli Emas BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Saravanan berkata demikian kerana MIC tidak bersetuju dengan formula semasa yang secara automatik membenarkan penyandang jawatan bertanding di kerusi yang sama dalam pilihan raya.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Cameron Highlands secara tradisinya merupakan kerusi pimpinan Tan Sri S Vigneswaran dimana pada 2018, bekas Naib Presidennya, Datuk C Sivaraj memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi, mengalahkan empat calon lain termasuk pesaing terdekatnya dari DAP.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, wakil UMNO, Datuk Ramli Md Nor berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Ramli juga berjaya mempertahankan kerusi Cameron Highlands dalam pilihan raya umum 2022 dengan majoriti 4,544 undi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2024/12/07/mic-tidak-setuju-formula-parti-menang-kekalkan-kerusi/