KENYATAAN MEDIA
ARVIND KRISHNAN
KETUA PEMUDA MIC KEBANGSAAN
Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan mengambil serius isu penganjuran program pengumpulan dana sebuah sekolah vernakular di Sungai Pelek, Sepang yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Pemuda MIC sependapat dan menyokong penuh kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa kerajaan supaya mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana mahupun melakukan aktiviti di sekolah.
Surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 29 Mac 2018, di dalam perkara 7.3 jelas menyatakan bahawa tata cara penerimaan sumbangan bagi sekolah adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pemuda MIC juga terkilan dengan tindakan beberapa wakil rakyat kerajaan, termasuk seorang timbalan menteri yang hadir ke program berkenaan seolah-olah merestui sumbangan dana sedemikian.
Lebih mengecewakan adalah kenyataan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke yang mempertahankan sumbangan berkenaan, dan menyatakan ianya tidak patut dijadikan isu kerana syarikat arak membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak puluhan tahun lalu, dan bukannya perkara baru untuk dijadikan isu. Malah beliau menyatakan akan memberi penjelasan mengenainya kepada Jemaah kabinet.
Dengan polisi dan tata cara berkenaan penerimaan sumbangan bagi institusi pendidikan adalah jelas, tindakan pemimpin kanan kerajaan bertaraf menteri mempertahankan tajaan syarikat arak berkenaan adalah tidak wajar.
Pemuda MIC mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan Puan Fadhlina Sidek yang menegaskan KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular. Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat
Maka, Pemuda MIC berharap dan menggesa kerajaan agar tidak berganjak dari polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana mahupun melakukan aktiviti di sekolah.
-Sekian-