Mi-Voice MIC News

Kerajaan disaran turunkan had umur mohon Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menurunkan had umur pemohon Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada 13 tahun daripada 15 tahun, bagi membantu pelajar keciciran akademik seawal Tingkatan Satu.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Senator Datuk Dr Nelson Renganathan, berkata langkah itu boleh membantu pelajar yang tidak mampu meneruskan pengajian akademik di peringkat sekolah menengah seawal Tingkatan Satu.

Beliau berkata, langkah menurunkan had umur untuk memohon pinjaman itu memberi peluang kepada pelajar yang tercicir untuk menerima latihan kemahiran dan membantu mereka mendapat laluan kerjaya yang lebih baik.

Katanya, pembabitan pelajar keciciran sekolah seawal Tingkatan Satu dalam pengajian Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh membantu mereka mendapat pendedahan awal kepada latihan kemahiran sekali gus membuka peluang kerjaya.

“Perkara ini penting dan perlu diteliti secara mendalam kerana jika mereka tercicir, golongon berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak mereka menyertai latihan TVET sehingga pelajar itu layak memohon bantuan kewangan sendiri pada umur 16 tahun.

“Pelajar berkenaan juga mungkin akan hilang minat dan hanyut lebih jauh dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan merugikan diri, keluarga dan negara pada masa akan datang,” katanya kepada BH, hari ini.

Renganathan berkata, pelatih TVET boleh mula bekerja di usia muda dan mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka menerima bayaran gaji yang setimpal dan lebih terjamin berbanding pekerja tanpa sebarang sijil kemahiran.
“Kita pernah menemubual 60 pelajar lepasan akademik dan TVET dan didapati pelajar TVET memperoleh pekerjaan dalam bidang kemahiran dengan kadar gaji minimum RM2,000 berbanding pelajar akademik yang bukan sahaja sukar mendapat pekerjaan dalam bidang mereka, gaji permulaan mereka juga lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan TVET meletakkan kepentingan yang sama pada pengetahuan teori serta kemahiran praktikal, dan menawarkan pengalaman pembelajaran holistik.
“Kemahiran ini amat penting untuk memupuk pertumbuhan peribadi, integrasi sosial, dan menyumbang kepada kebajikan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, TVET adalah komponen penting dalam sistem pendidikan di seluruh dunia yang menawarkan latihan kemahiran dan pengetahuan yang tidak ternilai kepada individu yang mencari alternatif kepada laluan akademik konvensional.

“Bagi menangani kadar keciciran pelajar sekolah di Malaysia yang semakin menjadi kebimbangan, pendidikan TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian segera untuk mereka memperkasakan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjamin masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Selain itu, Renganathan turut menggalakkan mempromosikan pendidikan keusahawanan dan inovasi di kalangan pelajar TVET, bukan sahaja menyediakan individu untuk peluang pekerjaan tradisional tetapi juga memupuk semangat keusahawanan dan inovasi TVET.

“Dengan membabitkan n anak muda yang tercicir dalam program TVET, mereka boleh membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain dalam komuniti mereka,” katanya.

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/09/1147867/kerajaan-disaran-turunkan-had-umur-mohon-pinjaman-tabung-pembangunan