KUALA LUMPUR, Ogos 31: Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah hari ini menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia dan menterinya Khairy Jamaluddin untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap insiden seorang warga tua yang meninggal di atas lantai sebuah hospital di Negeri Kedah setelah rebah dan tidak mendapat perhatian petugas kesihatan sehingga menghembuskan nafas terakhir 40 minit kemudian.
“Video viral yang memaparkan insiden tersebut sungguh menyayat hati. Warga emas tersebut, K. Ehambaram yang berumur 74 tahun jelas uzur dan tidak bermaya. Persoalannya, jika benar beliau tidak diberi perhatian dan rawatan sehingga 40 minit setelah beliau rebah di wad hospital berkenaan, apakah pula nasib pesakit-pesakit lain?”.
“Bagaimanakah seorang pesakit yang rebah dan terbaring di koridor wad boleh terlepas pandang oleh petugas kesihatan yang bertugas?” soal Murugiah.
Video tular tersebut didakwa dirakam di wad Hospital Lama Sungai Petani dan menunjukkan warga emas yang sangat lemah itu cuba berdiri dengan memaut pada katil pesakit lain di lokasi dipercayai wad Covid-19. Setelah rebah, warga emas tersebut terbaring di lantai tanpa sesiapa pun datang menjenguknya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira 40 minit kemudian.
Berikutan itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo menafikan dakwaan bahawa petugas di wad Covid-19 tersebut lambat memberi tindak balas dan rawatan kepada K. Ehambaram sehingga dia meninggal dunia di lantai wad berkenaan.
Keluarga K. Ehambaram hari ini telah membuat laporan polis menuntut siasatan mengenai punca kematiannya, dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak hospital atas kecuaian.
“Saya menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin segera menangani isu ini, mengarahkan siasatan terperinci melalui penubuhan panel bebas memandangkan kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagai mempertahankan bahawa tiada salah laku di dalam insiden ini.”
“Jika terbukti terdapat faktor kecuaian dari pihak hospital, mereka yang terbabit harus dikenakan tindakan sewajarnya. Pengorbanan dan komitmen petugas barisan hadapan, khasnya petugas kesihatan memang kita hargai dan sanjungi. Tetapi, setiap nyawa adalah penting, dan insiden seorang pesakit rebah di hospital dan dinafikan rawatan sehingga 40 minit memang sesuatu yang tidak dapat dimaafkan,” tambah Murugaiah lagi.
“Tatkala Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengutarakan konsep Keluarga Malaysia dan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’, sungguh mengecewakan kejadian sedemikian boleh berlaku di negara kita. Saya berharap kebenaran dan keadilan akan ditegakkan buat keluarga mendiang K. Ehambaram,” ujar Murugaiah.
Add Comment