MIC Youth

PEMULIH pakej komprehensif, perlaksanaannya perlu disegerakan dengan penambahbaikan, Pemuda MIC saran kerajaan

KUALA LUMPUR, Julai 1: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menyaran kerajaan agar perlaksanaan segala inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) disegerakan dengan beberapa penambahbaikan yang dicadangkan.

“Pemuda MIC menyambut baik pengumuman pakej PEMULIH berjumlah RM150 billion oleh Perdana Menteri.Tan Sri Muhyiddin Yassin. Memang tepat pada masanya, menyeluruh dan inklusif.”

“Cadangan yang diutarakan oleh Pemuda MIC sebelum ini, termasuk moratorium pinjaman, pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kawalan harga barangan keperluan, diskaun bil utiliti serta bantuan kewangan tambahan kepada rakyat, kesemuanya terkandung di dalam pakej PEMULIH. Terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan menyantuni aspirasi rakyat yang kami sampaikan,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.

Tambah Thinalan, Pemuda MIC berpendirian bahawa perlaksanaan beberapa inisiatif di bawah pakej PEMULIH perlu disegerakan berdasarkan situasi semasa yang makin kritikal, dan rakyat memerlukan bantuan segera.

“Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) perlu disalurkan secepat mungkin. Sebarang permohonan baru atau rayuan perlulah dipermudahkan tanpa syarat ketat. Mereka yang dinafikan bantuan BPR dan proses rayuan berkaitan kerana menerima Geran Khas Prihatin (GKP) atau memiliki perniagaan berdaftar tidak harus dikecualikan dari bantuan tersebut.”

“Bagi skim pengeluaran i-Citra di bawah KWSP, dengan sistem pangkalan data keahlian yang sedia ada serta skim i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini, proses dan prosedurnya perlulah mudah, tidak perlu masa sehingga Ogos bagi pengagihan dana tersebut kepada pemohon.”

“Diskaun bagi bil elektrik juga perlu dipertimbangkan, dengan kadar diskaun 40% bagi penggunaan elektrik 200kWj ke bawah ditingkatkan ke paras 300kWj memandangkan ramai yang terkurung di dalam rumah sepanjang PKP dan penggunaan elektrik pastinya melonjak. Kerajaan juga harus menyaran penyedia khidmat telekomunikasi (Telco) bagi menawarkan diskaun sewajarnya kepada pengguna,” kata Thinalan.

Pemuda MIC turut berharap prosedur tawaran moratorium kepada golongan B40, M40 dan pengusaha PKS dipermudahan, dan tiada faedah tersembunyi atau caj tambahan yang bakal membebankan peminjam.   

“Kami turut menyaran kerajaan agar harga semua barangan runcit dan keperluan domestik dikawal, dipantau dan ditetapkan paras silingnya. Harga siling standard produk yang ditetapkan kerajaan perlulah dipaparkan di semua premis perniagaan.”

“Inisiatif bantuan bakul makanan melalui peruntukan kepada semua ahli Parlimen juga wajar dilaksanakan di dalam masa terdekat, tanpa sebarang karenah birokrasi. Kempen kibar bendera putih bagi rakyat yang terkesan meminta bantuan makin menampakkan kesukaran rakyat menjalani kehidupan harian,” tambah Thinalan lagi.

https://www.thesentral.my/2021/07/01/pemulih-pakej-komprehensif-perlaksanaannya-perlu-disegerakan-dengan-penambahbaikan-pemuda-mic-saran-kerajaan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment