KUALA LUMPUR – Insiden perobohan kuil Sri Muniswaran di Kuala Kedah baru-baru ini menyebabkan kebimbangan terutamanya yang bukan Islam di negara ini.
Namun muak, bosan serta kecewa dengan isu yang seolah-olah tidak ada penghujungnya, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tampil memberi pandangan.
Kata Vigneswaran, isu membabitkan keagamaan perlu diselesaikan secara berhemah demi mengelak sebarang pertikaian yang boleh membawa mudarat kepada semua.
Menurut beliau, sudah tiba masanya semua parti politik duduk di meja rundingan, berbincang antara satu sama lain dalam usaha mencari penyelesaian secara menyeluruh.
Antaranya kata beliau, melalui perbincangan dibuat perlu dihasilkan satu garis panduan bagi mengelak ia berulang lagi pada masa depan.
“Sudah tiba masanya satu jalan penyelesaian komprehensif dan proaktif diwujudkan tanpa mengira negeri terbabit ditadbir oleh pembangkang atau kerajaan memerintah.
“Ini membolehkan satu blueprint khusus dapat dihasilkan melalui rundingan semua pihak. Sebuah garis panduan yang standard perlu diperuntukan agar ianya boleh di ikuti oleh semua pihak tanpa adanya keperluan melalui ‘krisis’ yang akhirnya menjadi perbalahan politik seperti sekarang.
“Kita perlu memahami dengan sepenuhnya tahap kesukaran isu ini. Di sesetengah tempat, jika kuil berkenaan perlu dipindahkan, maka ia perlu (dilakukan) tapi dalam keputusan menang-menang.
“Seandainya ada rumah ibadat atau kuil yang akan dirobohkan kerana berada di tanah kerajaan, maka perlu ada penyiasatan serta kajian terperinci tentangnya.
“Perlu ada perbincangan dengan semua peringkat, kerajaan negeri mahu pun Persekutuan dalam perkara ini. Kita perlu bantu sesama sendiri, janganlah biarkan seorang pihak sahaja terkontang-kanting,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Vigneswaran berkata, blueprint itu kemudian dipersembahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk tindakan susulan malah kementerian itu juga bertanggungjawab memainkan peranan penting membabitkan isu berkaitan.
“Sampai bila kita harus begini? Kita tidak boleh berterusan bertelagah dan bertikam saban pada setiap kerana masalah masalah rumah ibadat terutamanya kuil-kuil yang terbina atas tanah kerajaan.
“Marilah kita sama-sama selesaikan perkara ini tanpa sebarang agenda politik, saya sendiri akan menulis kepada semua pemimpin India di negara ini tentang isu berkaitan perobohan kuil dalam masa terdekat.
“Terus terang saya cakap, saya mahu pun MIC tidak mempunyai apa-apa agenda mahupun hendak ambil kesempatan dalam isu ini sebaliknya marilah kita secara keseluruhan mencari jalan penyelesaian.
“Semoga dengan saranan serta rundingan ini, satu garis panduan dalam disediakan dan diikuti agar semua ini tidak lagi berulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Add Comment