KUALA LUMPUR, Jun 29: Pergerakan Pemuda MIC hari ini menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas ke atas semua pihak yang terlibat di dalam penerbitan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ dengan gambar muka hadapannya jelas merupakan lambang Jata Negara yang diubahsuai dan bagai mencabar simbol kedaulatan negara.
“Tindakan tegas dan segera harus diambil terhadap mereka yang terbabit, termasuk penulis dan syarikat penerbitan buku tersebut. Sungguh berani dan tergamak mereka menghina lambang kedaulatan negara. Jata Negara adalah simbol negara yang amat signifikan, mencerminkan unsur-unsur yang menjadi teras Malaysia, termasuk Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan institusi DiRaja, sifat kegagahan serta komposisi negeri-negeri. Ianya lambang kebanggan dan patriotik kepada setiap anak Malaysia,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.
Buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ mengundang kontroversi dengan lambang mirip Jata Negara diubahsuai memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.
“Pemuda MIC senada dengan Pemuda UMNO, kami menuntut tindakan Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis terhadap Kean Wong, penulis buku tersebut serta penerbitnya. Penerbitan dan pengedaran buku tersebut harus digantung, dan pihak terbabit didakwa segera menurut lunas undang-undang negara.”
“Sebarang penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara adalah suatu bentuk penderhakaan. Hormatilah perlembagaan dan kedaulatan negara tercinta kita, jangan mencabar sama sekali,” tegas Thinalan lagi.
Difahamkan pemimpin-pemimpin pemuda Barisan Nasional akan membuat laporan polis terhadap pihak terbabit di Balai Polis Dang Wangi, ibu negara hari ini.
Ubahsuai Jata Negara bagai mencabar kedaulatan negara, Pemuda MIC gesa tindakan tegas
Add Comment