Mi-Voice MIC News

Majikan masih boleh mohon Program ERP

KUALA LUMPUR – Para majikan masih boleh mengemukakan permohonan bagi Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program (ERP) yang diperkenalkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) seperti mana diumumkan kerajaan pada 16 Mac lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, program di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu masih lagi berjalan dan permohonan yang telah dibuat dan diluluskan akan menerima bantuan kewangan di bawah program tersebut.

“Program ERP ini adalah bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada pekerjayang menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, sehingga semalam, PERKESO telah menerima sebanyak 27,222 permohonan daripada majikan yang membabitkan seramai 230,652 pekerja.

Katanya, bantuan dibayar kepada pekerja melalui majikan masing-masing.

Program ERP itu khusus untuk pekerja swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan bergaji RM4,000 ke bawah, ujarnya.

Saravanan memaklumkan, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi program berkenaan adalah sebanyak RM120 juta.

“Ketika ini, PERKESO masih memproses permohonan untuk ERP dan akan mengagihkan dana kepada permohonan yang telah diluluskan berdasarkan syarat ditetapkan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment