Mi-Voice MIC News

MIC sambut baik usul 5 ADUN secara lantikan oleh Kerajaan Negeri Pahang

BENTONG, Nov 22: MIC Negeri Pahang menyambut baik usul meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa melalui proses pilihan raya yang telah diluluskan oleh DUN Negeri Pahang pada Jumaat lepas.

“MIC mengalu-alukan pindaan tersebut yang akan memastikan segala agenda dan perancangan pembangunan negeri dan rakyat Pahang dapat dilaksanakan dengan sempurna. Pindaan ini tepat pada masanya ketika kerajaan dan rakyat menggembleng usaha dan tenaga di dalam memerangi impak negatif penularan pandemik Covid-19,” kata V. Arumugam, Pengerusi MIC Negeri Pahang.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Pahang Dato’ Seri Wan Rosdy bagi meminda Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Negeri yang membolehkan lantikan 5 ADUN daripada golongan berkaliber telah diluluskan dengan suara majority DUN Pahang tanpa kehadiran pembangkang hari ini.

Wan Rosdy menjelaskan bahawa pertambahan ADUN dilantik tersebut tidak akan bertindih dengan khidmat ADUN yang sedia ada, sebaliknya tindakan yang berorientasikan rakyat ini akan memastikan khidmat kerajaan yang menyeluruh kepada rakyat. Lantikan Adun berkenaan hendaklah atas usul 7 Adun dan mendapat kelulusan majoriti mudah, selain mereka boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi. Bagaimanapun, 5 ADUN dilantik itu tidak layak dipilih sebagai Menteri Besar atau menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Seri Wan Rosdy memang prihatin dan inklusif di dalam menyantuni keperluan dan aspirasi rakyat merentasi batasan kaum mahupun politik. Kewibawaan beliau terserlah melalui pelbagai tindakan drastik yang membina dan menjana hasil yang positif buat negeri dan rakyat Pahang.”

“Pindaan ini akan membolehkan perlantikan golongan professional serta wakil masyarakat minoriti bagi menganggotai DUN dan bersuara demi manfaat bersama rakyat Pahang. Ketika ini tiada wakil masyarakat India di dalam kerajaan Negeri Pahang, dan perlantikan sedemikian sudah tentunya akan memberi peluang bagi suara dan aspirasi masyarakat India kedengaran di dalam DUN dan Kerajaan Negeri. Kami yakin Dato’ Seri Wan Rosdy sudah semestinya mempertimbangkan perkara ini,” ulas Arumugam lagi.

Berikutan perkembangan ini, Arumugam berkata beliau menyerahkan kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional Kebangsaan dan Negeri Pahang berkenaan cadangan wakil masyarakat India dari parti MIC dipertimbangkan sebagai ADUN lantikan.

MIC sambut baik usul 5 ADUN secara lantikan oleh Kerajaan Negeri Pahang